Selasa, 20 Disember 2016

Kecurian Masa Dalam Kalangan Wanita


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad (Wanita dan Masa)


Masa ibarat emas. Begitulah pepatah yang sinonim dengan masyarakat Melayu kita hari ini yang menganggap masa sebagai sesuatu yang berharga. Malah, pepatah arab juga ada menyebut ‘Masa ibarat pedang, jika kita tidak menggunakan pedang tersebut sebaik mungkin pasti ia akan memotong kepala kita.’  Malah Allah juga bersumpah dengan masa dalam surah Al-Ash ayat 1 hingga 3 yang bermaksud :

‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal salih dan saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan saling nasihat menasihati dalam kesabaran’.

Menyentuh perihal masa, ramai orang tidak mempunyai masa berkualiti dalam kehidupan. Malah, saya sendiri kadang kala terbabas dalam menguruskan masa. Kehidupan seorang isteri dan ibu sangat meitikberatkan masa yang berkualiti. Tanpa masa yang berkualiti, pasti berlakunya kepincangan dalam sebuah institusi kekeluargaan. Apabila kita berbicara bekaitan masa berkualiti, perkara yang ingin saya fokuskan di sini adalah masa berkualiti menurut acuan Allah. Bagaimanakah masa berkualiti acuan Allah? Ya, masa berkualiti  acuan Allah adalah masa yang digunakan untuk memandu masa depan seseorang menuju  syurga. Walaubagaimanapun masa yang tidak berkualiti adalah masa yang memandu seseorang ke neraka-Nya. Nauzhubillah..

Jika kita amati panorama pada waktu pagi, pasti kita dapat melihat kehidupan ciptaan Allah yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Biasanya, pada waktu pagi, mentari akan melaksanakan tanggungjawabnya menyinari alam semesta tanpa terabai sedikitpun kerana akur terhadap perintah Allah. Begitu juga kita sebagai manusia, bermula dengan bangun awal pagi, kemudian berwuduk dan menunaikan solat subuh justeru menyusun kembali aktiviti dan janji-janji yang telah dibuat.

Ingin saya memetik hasil tulisan Prof. Madya Dr Harina dalam bukunya yang berjudul ‘5 Gaya Hidup Wanita Cemerlang’ berkaitan punca-punca kecurian masa dalam kalangan wanita khusunya. Antaranya :

1.       Tiada Perancangan

Tugasan serta langkah-langkah yang tidak disusun dengan rapi dan jelas pasti akan   menyebabkan masa melarikan diri dari celahan jari-jari. Perancangan merupakan salah satu perkara untuk berjaya. Berdasarkan kepada perancangan masa, setiap jam yang digunakan untuk merancang akan memandu seseorang bertindak tiga hingga empat jam.

2.       Kekurangan Waktu

 Seseorang yang kekurangan waktu menganggap tugas yang dilakukan membebankan walaupunun tugas tersebut mampu dilakukan oleh orang lain.

3.       Golongan Yang Datang Berziarah Tanpa Membuat     
 Perancangan Terlebih Dahulu

   Ramai orang begini. Malangnya mereka mencuri masa kita. Mungkin nasihat bagi golongan yang berziarah secara mengejut ini adalah dengan mencadangkan waktu yang sesuai untuk mereka datang.

4.       Tidak menggunakan waktu-waktu yang padat

Sewaktu menunggu bas atau menunggu doktor misalnya, kita sepatutnya mengisi masa dengan membaca buku atau mendengar ayat-ayat suci Al-quran. Kita juga boleh menulis nota-nota ringan atau merangka laporan untuk tugasan yang diperlukan. Di barat, mereka mempunyai kelebihan tidak membuang masa, kerana itulah sukar melihat penumpang di dalam kereta api atau bas merenung ke arah jalan dan berpendangan di antara satu sama lain sebagaimana yang kita lakukan. Biasanya mereka membaca buku atau surat khabar atau mendengar sebagai halwa telinga. Tidak boleh tidak mereka mesti mengambil manfaat tersebut.


5.       Sifat suka bertangguh yang tidak wajar

Tidak melaksanakan tanggungjawab pada waktunya dengan memberi alasan yang rapuh seperti cuaca buruk dan malas. Penangguhan menjadi sebab pertama yang akan merosakkan jadual kita. Ia akan menukarkan yang biasa menjadi penting, kerja yang mudah menjadi kerja yang mendesak dan menjadikan kita kekal dalam dilema dan terpaksa berlari tanpa henti.


6.       Tiada kemampuan untuk menolak

Menerima sahaja setiap permintaan daripada orang sekeliling akan menjadikan kehidupan kita padat dan masa kita terbuang begitu sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap hari memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (QS Al-Hasyr (59):18)

Sekadar itu dahulu perkongsian buat para pembaca. Semoga apa yang disampaikan memberi manfaat dan inspirasi untuk kita mengendalikan masa dengan lebih cemerlang. Wallahua’lam.




                                   



Tiada ulasan:

Catat Ulasan