Isnin, 5 Januari 2015

Mengukur KPI Iman

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga berada dalam suasana tenang dan gembira. Sebelum saya memulakan penulisan saya hari ini, ingin saya mengucapkan rasa sykur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Kuasa Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasihnya, saya masih diberi peluang dan ruang untuk terus bernafas menghayati selok-belok alam ciptaan-Nya. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga dan para sahabatya. (Allahhummasolia'lasaidinamuhammad).
Hari ini agak awal saya memulakan rutin menulis blog, berbeza dengan hari-hari sebelum ini, biasanya saya akan memulakan rutin ini seusai solat subuh namun, hari ini sebelum solat subuh saya agak bersemangat untuk mencoretkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada diri saya sendiri mahupun pembaca blog sekalian.
Sejak dua menjak sebelum ini, saya terasa begitu lemah dan malas untuk melaksanakan aktiviti atau rutin harian yang biasa saya lakukan bagi meningkatkan stamina rohani, emosi dan jasmani. Kadang-kadang saya bermonologl sendirian "mengapakah berlakunya situasi sedemikan? Adakah kerana sikap kita, pemakanan kita atau faktor sekeliling yang mempengaruhi?" Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di minda saya. Situasi ini menyebabkan saya terus bertindak mencari-cari bahan yang dapat meningkatkan motivasi diri saya. Akhirnya saya terjumpa satu artikel yang ditulis oleh seorang ustaz melalui majalah solusi berkaitan KPI Iman seseorang.
Sebagai seorang individu yang bekerjaya, menyentuh tentang KPI kita sering dikaitkan dengan kompetensi, integriti, piawaian, kualiti antarabangsa dan seumpamanya. Secara ringkas, ia berkaitan dengan kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semua perkara tersebut adalah demi mencapai sasaran, tidak kiralah sama ada sasaran organisasi mahupun individu. Justeru sasaran yang hendak dicapai mestilah seiring dengan komitmen yang diberikan. Misalnya seorang guru, berapa banyak latihan yang perlu diberikan kepada seorang murid bagi mencapai kualiti pengajaran dan pembelajaran. Jika seorang penulis pula, berapa banyak penulisan yang perlu dihasilkan setahun bagi mencapai KPI yang didinginkan. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya mencapai sasaran. Dengan perkataan lain komitmen yang digariskan inilah yang dinamakan KPI atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai Key Perfomance Index manakala dalam bahasa Melayu disebut Indeks Kunci Prestasi.
KPI penting kerana dengannya dapat diukur dengan jelas sejauh manakah komitmen yang telah diberikan. Cukup makan atau sebaliknya. Jika KPI yang digariskan berjaya dicapai, maknanya individu atau organisasi itu mampu mencapai apa yang telah digariskan. Maka tercapailah objektif dan sasaran organisasi. Seterusnya mudahlah jika mahu diberi imbuhan dan ganjaran kepada kakitangan, sekali gus mampu mengelakkan budaya 'menumpang' dalam kalangan warga organisasi.
Definisi KPI mungkin telah kita fahami. Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam. Mungkin kita sendiri yang kala ini menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif terkemuka lansung tidak terlintas betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita berasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadat semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.
KPI mukmin menyangkut paut terhadap kelansungan hidup manusia sama ada secara individual mahupun sesama manusia lain. KPI berkenaan digariskan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran. Antara deklarasi Allah s.w.t. :
Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, iaitu:
1. Orang yang beroleh khusyuk dalam solat
2. Orang yang tidak lalai dalam kehidupan
3. Orang yang menunaikan zakat
4. Orang yang menjaga kemaluan (kehormatannya)
5. Orang yang menjaga amanah
6. Orang yang memelihara janji
7. Orang yang sentiasa memelihara solat
( Surah al-Mukminun : 1-9)
Kesemua KPI tersebut akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah s.w.t. Ketika itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cuku-cukup makan. Atas kepentingan tersebut, Allah s.w.t menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar harta benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan dalam sebuah hadis:
"Seandainya manusia memiliki harta sepenuh dua lembah tentulah dia meminta agar diberi harta selembah lagi. Rongga batang tubuh anak Adam itu hanya dapat dipenuhi (dipuaskan) dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati.)'' (Hadis Riwayat Bukhari).
Manusia bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Walaubagaimanapun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian. Justeru, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah s.w.t. Andai kita berusaha pasti akan mencapai KPI yang diinginkan Allah kerana genggam bara api biar sampai jadi arang.

Setakat itu sahaja perkongsian saya hari ini. Semoga maklumat yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t manakala yang jelek itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Wallahua'lam.

Jumaat, 2 Januari 2015

Kesihatan adalah Harta Bernilai Individu Berjaya

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

 Asalammualaikum w.b.t.
Syukur ke hadrat Allah kerana limpah dan rahmatnya, sekali lagi saya diberi peluang dan ruang untuk mencoretkan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri mahupun pembaca blog sekalian. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. keluarga dan para sahabatnya. Sempena hari kelahiran baginda pada hari ini, marilah sama-sama kita berselawat sebanyak yang mungkin. (Allahhumasollia'lasayyidinamuhammad). Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga pembaca blog semua berada dalam rahmat dan setiasa tenang melalui liku-liku kehidupan dalam dunia akhir zaman ini. Sebenarnya, hari ini saya ingin menulis berkaitan pemakanan yang perlu diambil untuk mengekalkan kesihatan yang cemerlang. Kelmarin, setelah sudah agak lama saya tidak melawat nenek di kampung kerana kenkangan masa dek tugas yang perlu disempurnakan akhirnya, saya berjaya menziarahi nenek di kampung yang sudah agak berusia. Walaupun usia beliau telah mencecah lebih 80 tahun, namun beliau masih mampu berjalan dan bercakap dengan baik. Cuma, beliau mempunyai pendengaran yang kurang jelas. Alhamdulilah.. rasa syukur ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan untuk saya bertemu dengan nenek di samping rasa syukur kerana Dia mempelihara nenek saya dengan sempurna. Melihatkan keadaan nenek yang sudah berusia namun masih mempunyai saki baki tenaga melalui liku-liku hidup ini terlintas di hati untuk saya mencoretkan sesuatu berkaitan kesihatan untuk manfaat kita semua. Benarlah, kesihatan begitu berharga untuk kita terutamanya apabila menjangkau usia tua. Hal ini kerana individu yang peka menjaga kesihatan pasti bertenaga melalui hari-hari senjanya kelak.

            Pemakanan seimbang merupakan perkara utama dalam penjagaan kesihatan tubuh badan kita. Bagi mencapai diet seimbang, sesorang itu perlu menjaga pengambilan makanan berkalori setiap hari. Namun begitu, pemakanan atau diet yang berkualiti tidak akan menghasilkan kesan yang optimum sekiranya pemakanan yang diambil itu tidak sejajar dengan kehendak syariat. Dari Aisyah r.a berkata :  
Rasullullah s.a.w bersabda, "Apabila seorang daripada kamu hendak makan sebutlah nama Allah (yakni Bismillah). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal  (mula makan) maka, sebutlah 'Bismillahawwalahuwaakhirah' (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri). 
Hadith Riwayat Abu Dawwud dan atTirmidzi).

Nutrien yang mencukupi memainkan peranan yang penting dalam pemakanan seimbang. Kita digalakkan untuk makan makanan dari pelbagai sumber semulajadi yang memberi nutrien berlainan yang diperlukan oleh tubuh badan. Bagi memperolehi makanan yang seimbang beberapa tips mudah perlu dipraktikkan :

1. Makanan Berkanji
Makanan berkanji mempunyai serat yang tinggi dan boleh membuat seseorang berasa kenyang dengan lebih lama. Kita tidak perlu mengambil makanan berkanji dengan jumlah yang banyak, cukup sekadar satu pertiga daripada pemakanan harian. Contoh makanan berkanji meliputi kentang, bijirin, pasta, nasi dan roti.

2. Makan Sayuran & Buah-buahan
Makan seberapa banyak sayuran dan buah-buahan, lebih banyak lebih bagus. Hal ini kerana sayuran dan buah-buahan mempunyai pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan.

3. Makan Ikan
Ikan merupakan sumber protein yang bagus kerana ia mengandungi vitamin serta mineral yang bagus. Antara nutrien yang terkandung dalam ikan ialah Omega-3 yang mampu mencegah masalah penyakit jantung. Terdapat 3 jenis dalam pembelian ikan iaitu ikan segar, beku atau tin. Namun, ikan di dalam tin mempunyai garam tinggi dan mungkin terdapat bahan pengawet di dalamnya. Justeru, pemilihan ikan perlu seiring dengan diet yang seimbang.

4. Kurangkan Gula
Kajian mendapati bahawa penyakit yang paling popular di negara ini adalah penyakit kencing manis dan obesiti. Gula merupakan salah satu penyebab utama penyakit kencing manis yang semakin berleluasa kini. Tubuh badan memerlukan gula sebagai penambahan tenaga badan namun ia perlu diambil tidak lebih daripada jumlah keperluan yang diperlukan oleh tubuh badan. Jika kita menginginkan manis dalam makanan dan minuman cuba beralih ke penggunaan gula stevia, gula perang atau apa-apa jenis gula yang memberi kesan kesihatan kepada diri kita.

5. Kurangkan Garam 
Masakan tidak akan sempurna tanpa garam. Garam digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan. Garam juga penyumbang utama kepada penyakit darah tinggi. Kurangkan penggunaan garam dalam makanan demi menjaga kesihatan tubuh badan. Malah, nabi s.a.w menggunakan hanya secubit garam sebelum makan bagi mengekalkan kesihatan yang cemerlang.

6. Jangan Kehausan 
Setiap orang memerlukan 1.2 liter air minuman sehari bagi mengelakkan dehidrasi (kekeringan) badan. Ketika cuaca panas atau aktiviti bersukan, kita disarankan minum lebih banyak air dari keadaan biasa bagi menampung air yang dihidrasi dari tubuh badan.

7. Sarapan Pagi
Ini merupakan perkara pertama yang kita perlu lakukan setiap hari selepas bangun dari tidur iaitu sarapan pagi. Namun, kebanyakan orang yang tidak bersarapan akan mudah letih berbanding dengan yang bersarapan. Ini kerana, sarapan pagi merupakan sumber tenaga pertama yang yang akan dihadam oleh tubuh badan. Pastikan sarapan pagi dilengkapi  dengan diet pemakan yang sihat. Jangan tinggalkan sarapan pagi!.

Setakat itu sahaja perkongsian saya kepada semua pembaca blog. Semoga ia memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Insya Allah. (Allahhumasollia'la sayyidinamuhammad 10x)
Wassalammualaikum w.b.t..

        


Khamis, 1 Januari 2015

7 Prinsip Oprah Winfrey

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahirahmanirrahim.

Asallammualaikum w.t.b. Terlebih dahulu, sebelum memulakan ayunan jari jemari untuk menulis, ingin saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan Semesta Alam tidak lain tidak bukan Allah s.w.t. kerana Dia masih memberi ruang waktu dan keberkatan untuk saya terus berkarya demi kemaslahatan diri sendiri dan ummah. Tidak lupa selawat dan salam rindu ke atas junjungan besar kekasih-Nya, baginda s.a.w, keluarga dan para sahabatnya. Pembaca blog yang dirahmati Allah, apa khabar saudara saudari semua? Semoga kehidupan yang dilalui hari ini lebih baik dari semalam. Tidak lupa juga kepada yang ditimpa musibah, sesungguhnya, Allah mengangkat darjat kalian pada tahap yang lebih tinggi. Insya Allah. Hari ini agak lewat saya memulakan penulisan blog ini. Saya agak tertarik dengan maklumat yang saya baca melalui majalah AO yakni majalah yang dihasilkan oleh Dr Azizan Osman berkaitan tokoh terkenal iaitu Oprah Winfrey.

     Sebelum menjadi seorang yang terkenal dan berjaya Oprah Winfrey telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Antaranya, kemiskinan, penderaan seksual serta diskriminasi kaum. Namun pengalaman hidup yang getir itu tidak menghalang beliau untuk terus berjaya sekaligus menjadi antara wanita yang disegani di peringkat antarabangsa. Kini, beliau bukan sahaja seorang pengacara, malah beliau juga sebagai penerbit rancangan tv, penerbit buku dan majalah, pelakon malah merupakan seorang dermawan. Bermula dari kesusahan sehinggalah mencapai kejayaan, Oprah berjaya menempah namanya di persada media dunia. Di sebalik kejayaan beliau, 7 prinsip utama yang ditekankan untuk cemerlang dalam kehidupan.

1. Bekerja keras dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri
Beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang wanita miskin dan serba kekurangan. Setiap orang perlu mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Menurut Oprah, tiada rahsia besar dalam kehidupan beliau dan tidak kira apa sahaja matlamat yang ingin dicapai, ianya pasti berjaya dicapai jika seseorang itu sanggup bekerja keras untuk mendapatkannya.

2. Bersyukur (Gratitude)
Perkara yang paling besar yang boleh dilakukan bagi mengubah hidup kita pada hari ini ialah dengan bersyukur di atas apa yang kita miliki kini. Lagi banyak kita bersyukur, lebih banyak nikmat kebaikan yang akan diterima kelak.

3. Raikan masa kini dan nikmati pengembaraan hidup
Tidak ada bezanya berapa banyak puncak yang sudah ditawan jika tidak ada keseronokan dalam pendakiannya. Setiap hari kita berpeluang untuk hidup bebas dari kekesalan, jadikan hidup ini penuh dengan kegembiraan dan keseronokan sebanyak mana yang boleh dalam seharian ini.

4. Meneroka dan hidup dengan tujuan
Setiap manusia dihidupkan dengan mempunyai tujuan tertentu. Terokai apa yang anda sayangkan dan kongsikannya kepada orang ramai melalui kaedah servis.

5. Pembelajaran berterusan
Menurut Oprah, walaupun beliau boleh dikatakan telah berjaya namun, beliau masih dalam proses pembelajaran. Beliau mempelajari ilmu berguna melalui rintangan konflik serta pengalaman hidup yang telah dilalui.

6. Melihat kegagalan sebagai pengalaman pembelajaran
Lakukan sesuatu perkara yang kita tidak mampu buat. Jika gagal, cuba lagi kali kedua. Belajar dari kesilapan dan perbaiki pada cubaan seterusnya. Kegagalan merupakan satu batu loncatan kepada kejayaan.

7. Beri semua dan tambah nilai
Menurut Oprah, seseorang tidak akan berhenti memberi. Memberi bukan hanya menulis sehelai cek tetapi bagaimana kita dapat memberi dan menambah nilai kepada kehidupan orang lain.  

Begitulah 7 prinsip kejayaan pegangan hidup Oprah Winfrey. Seorang wanita biasa bertukar menjadi wanita yang amat LUAR BIASA. Semoga penulisan blog saya ini dapat memberi ransangan bukan sahaja pembaca sekalian malah kepada diri saya sendiri. Sesungguhnya, yang baik itu daripada Allah s.w.t dan yang jelek itu daripada kekurangan diri saya sendiri. Sekian sahaja dari saya. Salam sayang dan rindu untuk semua pembaca dan selamat beramal.