Memaparkan catatan dengan label motivasi diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi diri. Papar semua catatan

Rabu, 21 Disember 2016

Kejayaan Dan Kegagalan PT3

Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad

Segala puji-pujian saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana rahmat dan kasih-Nya, kita masih diberi peluang dan ruang untuk terus menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Tiga hari berlalu setelah keputusan PT3 diumumkan. Alhamdulillah sebagai guru kelas tingkatan 3, saya sendiri berasa sangat bersyukur kerana hampir semua lulus subjek yang telah diajar. Walaubagaimanapun, terdapat juga murid yang tidak lulus seramai tiga orang di kelas tersebut. Walaupun gred purata PT3 lebih rendah berbanding tahun lepas, saya berasa amat bersyukur kerana dengan izin-Nya ramai anak-anak didik kelas saya yang memperolehi A dalam subjek yang telah saya ajar. Sebenarnya kejayaan mereka bukanlah semata-mata kerana saya yang mengajar mereka, tetapi insiatif diri mereka untuk terus berubah dan di sebalik perubahan itu Allah izinkan mereka untuk berjaya. Segala puji-pujian saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana seramai 15 orang murid memperolehi A dalam matapelajaran yang telah diajar.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, keputusan PT3 dalam matapelajarn yang diajar tahun ini agak baik . Hal ini saya kaitkan dengan peribahasa 'kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya'. Sebenarnya, murid-murid tingkatan 3 tahun ini adalah murid-murid yang telah saya ajar  sejak dari tingkatan satu lagi. Jadi, segala baik dan buruk mereka telah saya kenali sejak awal penglibatan mereka di tingkatan satu.

Rata-ratanya, anak-anak didik di sekolah ini adalah berlatar belakangkan keluarga yang miskin,  berpecah belah dan memiliki tahap motivasi diri yang rendah. Namun, ada juga dalam kalangan mereka terdiri dari latar belakang keluarga berada. Walaubagaimanapun, murid-murid kelas saya  majoritinya adalah dari keluarga berada dan sederhana. Setiap hari saya selalu menekankan tahap disiplin diri yang tinggi serta sedikit ilmu agama agar tertananm dalam jiwa mereka dalam melalui liku-liku kehidupan yang penuh cabaan dan dugaan ini. Saya banyak melakukan pengorbanan masa bersama-sama mereka demi melihat kejayaan mereka dalam PT3.

Sejak mulanya penglibatan mereka di tingkatan satu, memang banyak ragam yang terpaksa saya telan. Ayat-ayat bodek yang melibatkan murid yang kurang motivasi sering terpacul dari mulut mereka. Misalnya 'Cikgu Nampak cantik hari ni, apa kata kita hantar kerja sekolah minggu depan, bolehkan cikgu? Jawapan saya ''No Way! Cikgu tidak tertarik dengan ayat-ayat jiwang kamu!' Kerja sekolah wajib hantar esok''. Adakalanya saya ikutkan sahaja rentak mereka. Namun, jika setiap hari sama sahaja keadaannya, saya mula bertegas. Namun begitu, masih terdapat murid-murid yang memiliki inisiatif diri untk terus maju dan cemerlang.

Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur atas rahmat dan kasih sayang-Nya memudahkan segala urusan saya bersama-sama mereka. Tahniah anak-anak didik tingkatan 3A1 khususnya kerana berjaya dalam peperiksaan PT3 baru-baru ini. Manjadawajadda. Siapa yang berusaha dia yang akan memperolehi hasilnya. Di sini sedikit tips remaja untuk berjaya. Kadangkala sebagai hamba Allah kita perlu cermin diri sendiri. Sedikit perkongsian dari majalah Gen-Q hasil tulisan Halim Huraira. Antara tips remaja dalam mencapai kejayaan :


1.Muhasabah Diri
Kita sebagai hamba Allah sering terlupa bahawa dalam amalan seharian kita ada perkara yang dilakukan tidak menepati syariat. Sehingga pada satu tahap kita makin lalai terhadap perintan tuhan, ibu bapa dan guru-guru. Memandangkan kita sudah berada pada penghujung tahun, moleklah kiranya kita muhasabah dan memperbaiki diri. Biar lambat sekarang jangan terlambat kemudian sehingga kita khuatir Allah mengirimkan malaikat maut untuk mencabut nyawa tetapi pada ketika itu kita masih belum bersedia. Nauzhubillah.

2. Kurangkan Berangan
Angan-angan sering dikaitkan dengan cerita mitos Melayu 'Mat Jenin'. Seorang pemuda yang berangan-angan di atas pokok dan akhirnya jatuh. Banyak iktibar yang boleh diambil dari cerita tersebut. Sekadar berangan tanpa tindakan tindak akan memberi apa-apa hasil. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud : 'Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari kematian. Sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah (Riwayat al-Tarmizi). Jadi, jika ada impian teruskan bertindak!

3.  Sibukkan Diri Dengan Kebaikan
Iman Hassan Al-Bana pernah berkata : "Kewajipan itu lebih banyak dari masa yang ada". Terlalu banyak kewajipan yang perlu dipersiapkan untuk mengadap Allah justeru masa tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Jika kita fokuskan tentang kewajipan ia menjurus kepada segala amalan kebaikan yang perlu dilaksanakan. Antaranya senyum kerana Allah, apabila kita berbicara tentang senyum kerana Allah bermaksud senyum bukan atas dasar niat yang tidak baik, tetapi sebagai tanda hormat-menghormati. Ada orang senyum tak bertempat. Jangan sampai senyum kita dianggap seperti 'kerang busuk' . Naya tu. Selain itu, kita juga boleh meyebarkan salam sesama orang Islam. Tidak kiralah siapa mereka dan apakah pekerjaan dan pangkat mereka. Kita juga boleh membantu ibu bapa dan guru serta fokus dalam pembelajaran. Tidak lupa, break time waktu solat. Bukankah hidup lebih indah jika kita dapat fokuskan amalan sedemikian? Niatkan segala-galanya kerana Allah.

4. Saling Berpesan
Jika kita teliti, waktu kita di sekolah guru-guru selalu mengingatkan kita supaya membaca surah Al-Asr setiap kali selesai perhimpunan atau majlis-majlis ilmu yang lain. Sebenarnya Allah sedang mengingatkan kita agar sentiasa menjaga masa, berpesan dengan kebaikan dan kesabaran. Saya percaya ramai dalam kalangan remaja di luar sana mempunyai facebook. Melalaui facebook, kita dapat berkongsi kata-kata nasihat, motivasi, kisah pengajaran dan pengalaman menarik dan bermanfaat kepada sahabat-sahabat yang lain. Sekurang-kurangnya melalaui perkongsian nasihat tersebut kita dapat memberi manfaat kepada orang lain. In Sya Allah.

5. Sabar Dalam Beramal
Sebagai seorang khalifah di muka bumi, kita mempunyai tanggunjawab yang sangat besar. Berdakwah sangat dituntut dalam Islam. Nabi s.a.w menyebarkan dakwah selama 13 tahun. Lihatlah betapa sabarnya nabi dalam berdakwah. Hikmah kesabaran baginda, lahirlah kita sebagai seorang Muslim. Semoga kita juga dapat mencontohi sikap baginda s.a.w. In Sya Allah.

Sekadar itu dulu, semoga apa yang disampaikan dapaat menjadi anjakan paradigma dalam diri kita masing-masing. Segala yang baik milik Allah, yang tidak baik dari kelemahan diri kita sebagai manusia. Wallahua'lam..




Gambar Kenanangan Jamuan Akhir Tahun Berasama-sama Anak-anak didik 3A1 (2016)

Selasa, 20 Disember 2016

Kecurian Masa Dalam Kalangan Wanita


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad (Wanita dan Masa)


Masa ibarat emas. Begitulah pepatah yang sinonim dengan masyarakat Melayu kita hari ini yang menganggap masa sebagai sesuatu yang berharga. Malah, pepatah arab juga ada menyebut ‘Masa ibarat pedang, jika kita tidak menggunakan pedang tersebut sebaik mungkin pasti ia akan memotong kepala kita.’  Malah Allah juga bersumpah dengan masa dalam surah Al-Ash ayat 1 hingga 3 yang bermaksud :

‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal salih dan saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan saling nasihat menasihati dalam kesabaran’.

Menyentuh perihal masa, ramai orang tidak mempunyai masa berkualiti dalam kehidupan. Malah, saya sendiri kadang kala terbabas dalam menguruskan masa. Kehidupan seorang isteri dan ibu sangat meitikberatkan masa yang berkualiti. Tanpa masa yang berkualiti, pasti berlakunya kepincangan dalam sebuah institusi kekeluargaan. Apabila kita berbicara bekaitan masa berkualiti, perkara yang ingin saya fokuskan di sini adalah masa berkualiti menurut acuan Allah. Bagaimanakah masa berkualiti acuan Allah? Ya, masa berkualiti  acuan Allah adalah masa yang digunakan untuk memandu masa depan seseorang menuju  syurga. Walaubagaimanapun masa yang tidak berkualiti adalah masa yang memandu seseorang ke neraka-Nya. Nauzhubillah..

Jika kita amati panorama pada waktu pagi, pasti kita dapat melihat kehidupan ciptaan Allah yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Biasanya, pada waktu pagi, mentari akan melaksanakan tanggungjawabnya menyinari alam semesta tanpa terabai sedikitpun kerana akur terhadap perintah Allah. Begitu juga kita sebagai manusia, bermula dengan bangun awal pagi, kemudian berwuduk dan menunaikan solat subuh justeru menyusun kembali aktiviti dan janji-janji yang telah dibuat.

Ingin saya memetik hasil tulisan Prof. Madya Dr Harina dalam bukunya yang berjudul ‘5 Gaya Hidup Wanita Cemerlang’ berkaitan punca-punca kecurian masa dalam kalangan wanita khusunya. Antaranya :

1.       Tiada Perancangan

Tugasan serta langkah-langkah yang tidak disusun dengan rapi dan jelas pasti akan   menyebabkan masa melarikan diri dari celahan jari-jari. Perancangan merupakan salah satu perkara untuk berjaya. Berdasarkan kepada perancangan masa, setiap jam yang digunakan untuk merancang akan memandu seseorang bertindak tiga hingga empat jam.

2.       Kekurangan Waktu

 Seseorang yang kekurangan waktu menganggap tugas yang dilakukan membebankan walaupunun tugas tersebut mampu dilakukan oleh orang lain.

3.       Golongan Yang Datang Berziarah Tanpa Membuat     
 Perancangan Terlebih Dahulu

   Ramai orang begini. Malangnya mereka mencuri masa kita. Mungkin nasihat bagi golongan yang berziarah secara mengejut ini adalah dengan mencadangkan waktu yang sesuai untuk mereka datang.

4.       Tidak menggunakan waktu-waktu yang padat

Sewaktu menunggu bas atau menunggu doktor misalnya, kita sepatutnya mengisi masa dengan membaca buku atau mendengar ayat-ayat suci Al-quran. Kita juga boleh menulis nota-nota ringan atau merangka laporan untuk tugasan yang diperlukan. Di barat, mereka mempunyai kelebihan tidak membuang masa, kerana itulah sukar melihat penumpang di dalam kereta api atau bas merenung ke arah jalan dan berpendangan di antara satu sama lain sebagaimana yang kita lakukan. Biasanya mereka membaca buku atau surat khabar atau mendengar sebagai halwa telinga. Tidak boleh tidak mereka mesti mengambil manfaat tersebut.


5.       Sifat suka bertangguh yang tidak wajar

Tidak melaksanakan tanggungjawab pada waktunya dengan memberi alasan yang rapuh seperti cuaca buruk dan malas. Penangguhan menjadi sebab pertama yang akan merosakkan jadual kita. Ia akan menukarkan yang biasa menjadi penting, kerja yang mudah menjadi kerja yang mendesak dan menjadikan kita kekal dalam dilema dan terpaksa berlari tanpa henti.


6.       Tiada kemampuan untuk menolak

Menerima sahaja setiap permintaan daripada orang sekeliling akan menjadikan kehidupan kita padat dan masa kita terbuang begitu sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap hari memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (QS Al-Hasyr (59):18)

Sekadar itu dahulu perkongsian buat para pembaca. Semoga apa yang disampaikan memberi manfaat dan inspirasi untuk kita mengendalikan masa dengan lebih cemerlang. Wallahua’lam.




                                   



Isnin, 19 Disember 2016

Wanita Dan Aurat


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad


Wanita dan aurat tidak dapat dipisahkan. Ya! aurat kita sangat perlu diberi pehatian. Anda seorang perempuan? Saya juga perempuan. Kita bertuah kerana dilahirkan sebagai seorang perempuan. Allah telah menetapkan aurat perempuan sangat perlu diberi perhatian. Hal ini kerana kita adalah hamba-Nya yang terpilih. Jadi, keistimewaan tersebut perlu dipelihara sebaiknya. Apabila semua asas dijaga dengan baik in sya Allah kita akan matang sebagai wanita yang baik dan solehah.

 
Wanita yang baik adalah wanita yang solehah yang akan menjadi isteri dan ibu yang solehah kepada suami dan anak-anak. Menyebut tentang aurat, ramai dalam kalangan wanita hari ini yang memandang remeh tentang isu tersebut. Saya pernah bertanya kepada beberapa orang anak didik perempuan saya tentang aurat. Kebanyakan mereka memberi alasan menutup aurat itu perlu menjadi seorang yang solehah. Antara dialog mereka berbunyi begini :

 

 ‘ Ala..cikgu saya tak nak la pakai tudung labuh-labuh sangat, saya ni bukan alim pun..nanti orang panggil saya ustazah, saya dah la takde ilmu agama. Kalau diorang tanya hukum macam-macam, matila saya nak jawab’

 

‘Cikgu, wajib ke pakai stoking? Kaki aurat ke? Ala..kaki saya mana ade orang nak tengok pun…’

 

‘Cikgu, saya kat luar jer tak pakai tudung, dalam sekolah saya pakai kot…hehe..’


Begitulah dialog remaja-remaja perempuan hari ini. Isu aurat yang dianggap remeh. Kita sebagai orang yang lebih tua perlu memainkan peranan dengan bergaul dan menasihati mereka secara berhikmah. Alangkah sedihnya  Nabi Muhammad s.a.w melihat perilaku wanita masa kini. Sedangkan nabi sendiri mengangkat darjat seorang perempuan pada kedudukan yang sangat mulia. Segelintir individu mengatakan iman ada di dalam hati. Maka, ramai jugalah yang tidak suka orang lain mempertikaikan penampilan, akhlak dan cara hidup mereka. Kata mereka, ‘don’t judge the book by its cover’. Innalillahiwainnailaihirajiuun.

 
Sebagai seorang yang beriman kita tidak sepatutnya menjerumuskan diri kita ke lembah maksiat. Membuang dan membazirkan masa dengan melakukan dosa adalah ibarat membuat perancangan masa depan untuk masuk ke dalam neraka. Dosa yang kecil jika dilazimikan akan menjadi dosa besar yang akhirnya membawa kerugian di akhirat kelak. Ingatlah! Apa yang kita lakukan hari ini, kesannnya akan dinikmati berpuluh-puluh tahun kelak. Bersusah-susahlah sedikit agar agar kita bahagia di kemudian hari.


Di sini saya ingin memetik kata-kata Pn Ruhana Zaki melaui penulisan beliau dalam bukunya yang berjudul ‘Kerana Mu Aku Berubah’

‘Anda adalah hamba-Nya yang terpilih. Jadi, usah sia-siakan keistimewaan tersebut. Aapabila semua asas Islam telah berjaya disemat dan diamalkan, In sya Allah anda akan membesar sebagai wanita yang baik yang menjadi pilihan penduduk langit dan bumi. Berbahagialah menjadi isteri yang solehah, berkat kesabaran membentuk peribadi mahmudah’

 
Renungkanlah…jangan sampai kita muflis di persimpangan jalan. Moga Allah merahmatimu wahai wanita. Teruskan perjuangan menjadi wanita solehah.



 

Khamis, 17 Mac 2016

Wasiat Imam Syafie & Prinsip Kejayaan

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum w.b.t.

Allahhumasolia'lasaidinamuhammad. Kesempatan yang Allah anugerahkan hari ini adalah nikmat tidak ternilai buat hamba-hambanya. Terlebih dahulu ingin saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah azzawajala kerana diberi peluang dan ruang kepada saya untuk terus berkarya hari ini demi kebaikan ummah seluruhnya. Sudah terlalu lama saya tidak menulis blog. Hal ini kerana kengkangan masa dan waktu yang mana saya lebih banyak fokus terhadap kerjaya dan tangunggjawab sebagai pendidik dek kerana tanggungjawab seorang pendidik pada alaf ini begitu mancabar dan memerlukan komitmen yang utuh bagi melahirkan anak bangsa yang berkualiti di dunia dan akhirat. Segalanya memerlukan ilmu.

Mengharungi liku-liku hidup akhir zaman hari ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam diri seseorang bagi menjana segala kelebihan yang Allah anugerahkan. Jestru, bahan yang menarik minat saya bagi mengisi ruang hati yang kekurangan ilmu adalah satu daripada wasiat menarik Imam Syafie. Antara wasiat Imam Syafie :

1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuatmu cemerlang dunia dan  
    akhirat. Ilmu merupakan perkara pokok dalam setiap urusan yang dilalui oleh seseorang dalam
    kehidupan. Hal ini jelas melaui firman Allah dalam surah Al-A'laq yang bermaksud :
 
    ”Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. (QS. 96: 1)
 
   Ayat ini jelas memerintahkan  baginda  Nabi Muhammad Saw. juga kepada umatnya   
  untuk membaca. Membaca dengan nama Allah yang telah menjadikan kita sebagai hambanya
  yakni dengan menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya.
  Justeru, ayat ini secara jelas memerintahkan umat Islam supaya menuntut ilmu. Amalan membaca
  merupakan pintu kepada ilmu. Hal ini kerana membaca bukan sahaja menjadikan planet   
  berpikir seseorang semakin luas malah kebodohan dan  kejahilan dapat diatasi, bahkan
  dihapuskan kerana membaca merupakan gerbang ilmu dan  pengetahuan.

Di sini ingin saya senaraikan 3 prinsip kejayaan dari Surah Al-Mukminun
 
1. Ayat 1 surah Al-Mukminun ('Sesungguhnya berutunglah orang-orang yang beriman')

Seseorang yang berjaya pasti percaya. Beriman di sisni merujuk kepada percaya kepada Allah. Jika kita tidak percaya untuk berjaya, kita mungkin tidak bersedia untuk berjaya. Abu Lahab sudah dianugerahkan oleh Allah untuk berjaya di dunia dan akhirat tetapi, kerana tidak mahu percaya keyakinan yang dibawa oleh nabi s.a.w, maka kejayaan yang datang lari dari kelibat Abu Lahab. Abu Lahab adalah satu contoh individu yang tidak percaya pada kejayaan yang dibawa nabi sehingga Allah berfirman 'celakalah kedua belah kaki Abu Lahab' (rujuk Surah An-Lahab). Kenali dan perjaya pada faktor sekeliling untuk berjaya walaupun orang lain merasakan tiada apa yang boleh dimanfaatkan untuk berjaya. Seseorang yang berjaya yakin dan percaya mereka berjaya.

2. Ayat 2 Surah Al-Mukminun ('Orang-orang yang khusyuk dalam solat')

Fokus untuk berjaya. Jika kita tidak berdisiplin dan tidak fokus dalam kehidupan kita mungkin tidak bersedia untuk berjaya. Begitulah kita dilatih untuk fokus mengingati Allah dalam solat. Ketika berborak, Nabi akan berubah mukanya dan lantas meninggalkan kumpulan manusia yag berbicara apabila tiba waktu solat. Khusyuk dalam solat adalah fokus kepada Allah. Dalam kehidupan akan ada banyak hal yang perlu dilaksanakan tetapi belajarlah untuk fkcus pada apa yang ingin dicapai demi kejayaan dunia dan akhirat walaupun ia akan menimbulkan 'kecil hati' pada orang sekeliling. Orang lain tidak akan bertanggungjawab jika anda tidak berjaya apatah lagi setelah sampai ke akhirat.

3. Ayat 3 Surah Al-Mukminun ( ' Orang-orang yang menjauhkan diri dari perkara sia-sia')

Bila dah nak berjaya katakana ya dan akui. Bila tak berjaya dan ada unsur kegagalan katakan tidak dan usahakan agar kejayaan datang kembali. Barulah anda mampu menerima kejayaan yang dalam perjalanan anda. Kalau anda berdolak dalik dan tak pasti, anda perlukan ilmu untuk pasti kejayaan milik anda. Bila anda jelas pada apa yang anda fokus ia akan menjadi kekuatan untuk berjaya. Jadi, perkara-perkara yang sia-sia tak perlu diberi perhatian atau fokus.  

Semoga kejayaan milik kita!! In Sya Allah..





 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Isnin, 5 Januari 2015

Mengukur KPI Iman

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga berada dalam suasana tenang dan gembira. Sebelum saya memulakan penulisan saya hari ini, ingin saya mengucapkan rasa sykur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Kuasa Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasihnya, saya masih diberi peluang dan ruang untuk terus bernafas menghayati selok-belok alam ciptaan-Nya. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga dan para sahabatya. (Allahhummasolia'lasaidinamuhammad).
Hari ini agak awal saya memulakan rutin menulis blog, berbeza dengan hari-hari sebelum ini, biasanya saya akan memulakan rutin ini seusai solat subuh namun, hari ini sebelum solat subuh saya agak bersemangat untuk mencoretkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada diri saya sendiri mahupun pembaca blog sekalian.
Sejak dua menjak sebelum ini, saya terasa begitu lemah dan malas untuk melaksanakan aktiviti atau rutin harian yang biasa saya lakukan bagi meningkatkan stamina rohani, emosi dan jasmani. Kadang-kadang saya bermonologl sendirian "mengapakah berlakunya situasi sedemikan? Adakah kerana sikap kita, pemakanan kita atau faktor sekeliling yang mempengaruhi?" Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di minda saya. Situasi ini menyebabkan saya terus bertindak mencari-cari bahan yang dapat meningkatkan motivasi diri saya. Akhirnya saya terjumpa satu artikel yang ditulis oleh seorang ustaz melalui majalah solusi berkaitan KPI Iman seseorang.
Sebagai seorang individu yang bekerjaya, menyentuh tentang KPI kita sering dikaitkan dengan kompetensi, integriti, piawaian, kualiti antarabangsa dan seumpamanya. Secara ringkas, ia berkaitan dengan kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semua perkara tersebut adalah demi mencapai sasaran, tidak kiralah sama ada sasaran organisasi mahupun individu. Justeru sasaran yang hendak dicapai mestilah seiring dengan komitmen yang diberikan. Misalnya seorang guru, berapa banyak latihan yang perlu diberikan kepada seorang murid bagi mencapai kualiti pengajaran dan pembelajaran. Jika seorang penulis pula, berapa banyak penulisan yang perlu dihasilkan setahun bagi mencapai KPI yang didinginkan. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya mencapai sasaran. Dengan perkataan lain komitmen yang digariskan inilah yang dinamakan KPI atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai Key Perfomance Index manakala dalam bahasa Melayu disebut Indeks Kunci Prestasi.
KPI penting kerana dengannya dapat diukur dengan jelas sejauh manakah komitmen yang telah diberikan. Cukup makan atau sebaliknya. Jika KPI yang digariskan berjaya dicapai, maknanya individu atau organisasi itu mampu mencapai apa yang telah digariskan. Maka tercapailah objektif dan sasaran organisasi. Seterusnya mudahlah jika mahu diberi imbuhan dan ganjaran kepada kakitangan, sekali gus mampu mengelakkan budaya 'menumpang' dalam kalangan warga organisasi.
Definisi KPI mungkin telah kita fahami. Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam. Mungkin kita sendiri yang kala ini menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif terkemuka lansung tidak terlintas betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita berasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadat semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.
KPI mukmin menyangkut paut terhadap kelansungan hidup manusia sama ada secara individual mahupun sesama manusia lain. KPI berkenaan digariskan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran. Antara deklarasi Allah s.w.t. :
Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, iaitu:
1. Orang yang beroleh khusyuk dalam solat
2. Orang yang tidak lalai dalam kehidupan
3. Orang yang menunaikan zakat
4. Orang yang menjaga kemaluan (kehormatannya)
5. Orang yang menjaga amanah
6. Orang yang memelihara janji
7. Orang yang sentiasa memelihara solat
( Surah al-Mukminun : 1-9)
Kesemua KPI tersebut akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah s.w.t. Ketika itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cuku-cukup makan. Atas kepentingan tersebut, Allah s.w.t menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar harta benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan dalam sebuah hadis:
"Seandainya manusia memiliki harta sepenuh dua lembah tentulah dia meminta agar diberi harta selembah lagi. Rongga batang tubuh anak Adam itu hanya dapat dipenuhi (dipuaskan) dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati.)'' (Hadis Riwayat Bukhari).
Manusia bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Walaubagaimanapun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian. Justeru, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah s.w.t. Andai kita berusaha pasti akan mencapai KPI yang diinginkan Allah kerana genggam bara api biar sampai jadi arang.

Setakat itu sahaja perkongsian saya hari ini. Semoga maklumat yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t manakala yang jelek itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Wallahua'lam.

Jumaat, 2 Januari 2015

Kesihatan adalah Harta Bernilai Individu Berjaya

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

 Asalammualaikum w.b.t.
Syukur ke hadrat Allah kerana limpah dan rahmatnya, sekali lagi saya diberi peluang dan ruang untuk mencoretkan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri mahupun pembaca blog sekalian. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. keluarga dan para sahabatnya. Sempena hari kelahiran baginda pada hari ini, marilah sama-sama kita berselawat sebanyak yang mungkin. (Allahhumasollia'lasayyidinamuhammad). Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga pembaca blog semua berada dalam rahmat dan setiasa tenang melalui liku-liku kehidupan dalam dunia akhir zaman ini. Sebenarnya, hari ini saya ingin menulis berkaitan pemakanan yang perlu diambil untuk mengekalkan kesihatan yang cemerlang. Kelmarin, setelah sudah agak lama saya tidak melawat nenek di kampung kerana kenkangan masa dek tugas yang perlu disempurnakan akhirnya, saya berjaya menziarahi nenek di kampung yang sudah agak berusia. Walaupun usia beliau telah mencecah lebih 80 tahun, namun beliau masih mampu berjalan dan bercakap dengan baik. Cuma, beliau mempunyai pendengaran yang kurang jelas. Alhamdulilah.. rasa syukur ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan untuk saya bertemu dengan nenek di samping rasa syukur kerana Dia mempelihara nenek saya dengan sempurna. Melihatkan keadaan nenek yang sudah berusia namun masih mempunyai saki baki tenaga melalui liku-liku hidup ini terlintas di hati untuk saya mencoretkan sesuatu berkaitan kesihatan untuk manfaat kita semua. Benarlah, kesihatan begitu berharga untuk kita terutamanya apabila menjangkau usia tua. Hal ini kerana individu yang peka menjaga kesihatan pasti bertenaga melalui hari-hari senjanya kelak.

            Pemakanan seimbang merupakan perkara utama dalam penjagaan kesihatan tubuh badan kita. Bagi mencapai diet seimbang, sesorang itu perlu menjaga pengambilan makanan berkalori setiap hari. Namun begitu, pemakanan atau diet yang berkualiti tidak akan menghasilkan kesan yang optimum sekiranya pemakanan yang diambil itu tidak sejajar dengan kehendak syariat. Dari Aisyah r.a berkata :  
Rasullullah s.a.w bersabda, "Apabila seorang daripada kamu hendak makan sebutlah nama Allah (yakni Bismillah). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal  (mula makan) maka, sebutlah 'Bismillahawwalahuwaakhirah' (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri). 
Hadith Riwayat Abu Dawwud dan atTirmidzi).

Nutrien yang mencukupi memainkan peranan yang penting dalam pemakanan seimbang. Kita digalakkan untuk makan makanan dari pelbagai sumber semulajadi yang memberi nutrien berlainan yang diperlukan oleh tubuh badan. Bagi memperolehi makanan yang seimbang beberapa tips mudah perlu dipraktikkan :

1. Makanan Berkanji
Makanan berkanji mempunyai serat yang tinggi dan boleh membuat seseorang berasa kenyang dengan lebih lama. Kita tidak perlu mengambil makanan berkanji dengan jumlah yang banyak, cukup sekadar satu pertiga daripada pemakanan harian. Contoh makanan berkanji meliputi kentang, bijirin, pasta, nasi dan roti.

2. Makan Sayuran & Buah-buahan
Makan seberapa banyak sayuran dan buah-buahan, lebih banyak lebih bagus. Hal ini kerana sayuran dan buah-buahan mempunyai pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan.

3. Makan Ikan
Ikan merupakan sumber protein yang bagus kerana ia mengandungi vitamin serta mineral yang bagus. Antara nutrien yang terkandung dalam ikan ialah Omega-3 yang mampu mencegah masalah penyakit jantung. Terdapat 3 jenis dalam pembelian ikan iaitu ikan segar, beku atau tin. Namun, ikan di dalam tin mempunyai garam tinggi dan mungkin terdapat bahan pengawet di dalamnya. Justeru, pemilihan ikan perlu seiring dengan diet yang seimbang.

4. Kurangkan Gula
Kajian mendapati bahawa penyakit yang paling popular di negara ini adalah penyakit kencing manis dan obesiti. Gula merupakan salah satu penyebab utama penyakit kencing manis yang semakin berleluasa kini. Tubuh badan memerlukan gula sebagai penambahan tenaga badan namun ia perlu diambil tidak lebih daripada jumlah keperluan yang diperlukan oleh tubuh badan. Jika kita menginginkan manis dalam makanan dan minuman cuba beralih ke penggunaan gula stevia, gula perang atau apa-apa jenis gula yang memberi kesan kesihatan kepada diri kita.

5. Kurangkan Garam 
Masakan tidak akan sempurna tanpa garam. Garam digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan. Garam juga penyumbang utama kepada penyakit darah tinggi. Kurangkan penggunaan garam dalam makanan demi menjaga kesihatan tubuh badan. Malah, nabi s.a.w menggunakan hanya secubit garam sebelum makan bagi mengekalkan kesihatan yang cemerlang.

6. Jangan Kehausan 
Setiap orang memerlukan 1.2 liter air minuman sehari bagi mengelakkan dehidrasi (kekeringan) badan. Ketika cuaca panas atau aktiviti bersukan, kita disarankan minum lebih banyak air dari keadaan biasa bagi menampung air yang dihidrasi dari tubuh badan.

7. Sarapan Pagi
Ini merupakan perkara pertama yang kita perlu lakukan setiap hari selepas bangun dari tidur iaitu sarapan pagi. Namun, kebanyakan orang yang tidak bersarapan akan mudah letih berbanding dengan yang bersarapan. Ini kerana, sarapan pagi merupakan sumber tenaga pertama yang yang akan dihadam oleh tubuh badan. Pastikan sarapan pagi dilengkapi  dengan diet pemakan yang sihat. Jangan tinggalkan sarapan pagi!.

Setakat itu sahaja perkongsian saya kepada semua pembaca blog. Semoga ia memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Insya Allah. (Allahhumasollia'la sayyidinamuhammad 10x)
Wassalammualaikum w.b.t..

        


Khamis, 1 Januari 2015

7 Prinsip Oprah Winfrey

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahirahmanirrahim.

Asallammualaikum w.t.b. Terlebih dahulu, sebelum memulakan ayunan jari jemari untuk menulis, ingin saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan Semesta Alam tidak lain tidak bukan Allah s.w.t. kerana Dia masih memberi ruang waktu dan keberkatan untuk saya terus berkarya demi kemaslahatan diri sendiri dan ummah. Tidak lupa selawat dan salam rindu ke atas junjungan besar kekasih-Nya, baginda s.a.w, keluarga dan para sahabatnya. Pembaca blog yang dirahmati Allah, apa khabar saudara saudari semua? Semoga kehidupan yang dilalui hari ini lebih baik dari semalam. Tidak lupa juga kepada yang ditimpa musibah, sesungguhnya, Allah mengangkat darjat kalian pada tahap yang lebih tinggi. Insya Allah. Hari ini agak lewat saya memulakan penulisan blog ini. Saya agak tertarik dengan maklumat yang saya baca melalui majalah AO yakni majalah yang dihasilkan oleh Dr Azizan Osman berkaitan tokoh terkenal iaitu Oprah Winfrey.

     Sebelum menjadi seorang yang terkenal dan berjaya Oprah Winfrey telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Antaranya, kemiskinan, penderaan seksual serta diskriminasi kaum. Namun pengalaman hidup yang getir itu tidak menghalang beliau untuk terus berjaya sekaligus menjadi antara wanita yang disegani di peringkat antarabangsa. Kini, beliau bukan sahaja seorang pengacara, malah beliau juga sebagai penerbit rancangan tv, penerbit buku dan majalah, pelakon malah merupakan seorang dermawan. Bermula dari kesusahan sehinggalah mencapai kejayaan, Oprah berjaya menempah namanya di persada media dunia. Di sebalik kejayaan beliau, 7 prinsip utama yang ditekankan untuk cemerlang dalam kehidupan.

1. Bekerja keras dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri
Beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang wanita miskin dan serba kekurangan. Setiap orang perlu mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Menurut Oprah, tiada rahsia besar dalam kehidupan beliau dan tidak kira apa sahaja matlamat yang ingin dicapai, ianya pasti berjaya dicapai jika seseorang itu sanggup bekerja keras untuk mendapatkannya.

2. Bersyukur (Gratitude)
Perkara yang paling besar yang boleh dilakukan bagi mengubah hidup kita pada hari ini ialah dengan bersyukur di atas apa yang kita miliki kini. Lagi banyak kita bersyukur, lebih banyak nikmat kebaikan yang akan diterima kelak.

3. Raikan masa kini dan nikmati pengembaraan hidup
Tidak ada bezanya berapa banyak puncak yang sudah ditawan jika tidak ada keseronokan dalam pendakiannya. Setiap hari kita berpeluang untuk hidup bebas dari kekesalan, jadikan hidup ini penuh dengan kegembiraan dan keseronokan sebanyak mana yang boleh dalam seharian ini.

4. Meneroka dan hidup dengan tujuan
Setiap manusia dihidupkan dengan mempunyai tujuan tertentu. Terokai apa yang anda sayangkan dan kongsikannya kepada orang ramai melalui kaedah servis.

5. Pembelajaran berterusan
Menurut Oprah, walaupun beliau boleh dikatakan telah berjaya namun, beliau masih dalam proses pembelajaran. Beliau mempelajari ilmu berguna melalui rintangan konflik serta pengalaman hidup yang telah dilalui.

6. Melihat kegagalan sebagai pengalaman pembelajaran
Lakukan sesuatu perkara yang kita tidak mampu buat. Jika gagal, cuba lagi kali kedua. Belajar dari kesilapan dan perbaiki pada cubaan seterusnya. Kegagalan merupakan satu batu loncatan kepada kejayaan.

7. Beri semua dan tambah nilai
Menurut Oprah, seseorang tidak akan berhenti memberi. Memberi bukan hanya menulis sehelai cek tetapi bagaimana kita dapat memberi dan menambah nilai kepada kehidupan orang lain.  

Begitulah 7 prinsip kejayaan pegangan hidup Oprah Winfrey. Seorang wanita biasa bertukar menjadi wanita yang amat LUAR BIASA. Semoga penulisan blog saya ini dapat memberi ransangan bukan sahaja pembaca sekalian malah kepada diri saya sendiri. Sesungguhnya, yang baik itu daripada Allah s.w.t dan yang jelek itu daripada kekurangan diri saya sendiri. Sekian sahaja dari saya. Salam sayang dan rindu untuk semua pembaca dan selamat beramal.

Rabu, 31 Disember 2014

Azam 2015

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirrahmanirrahim.

Asalammualaikum w.b.t.

        Sekali lagi saya memohon rasa syukur yang tidak terhingga kepada Pencipta Alam Semesta, Allah s.w.t kerana saya masih diberi peluang dan ruang untuk saya terus berkarya bagi menabur manfaat serta kemaslahatan untuk diri sendiri dan semua pembaca blog yang disayangi. Tidak lupa selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya.  "Terimakasih Allah kerana Engkau selamatkan aku dari segala bentuk bencana dan ujian yang mungkin aku sendiri tidak mampu menhadapinya. Tinggikanlah darjat mereka yang telah Engkau uji mereka dengan segala bentuk bencana yang berlaku dan ampunkanlah kesalahan-kesalahan mereka kerana sesungghunya mereka tidak mengetahui". Dengan kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada guru saya kerana melalui dialah terciptanya blog ini sekaligus membantu saya untuk terus berkarya. Semoga Allah merahmati beliau dan keluarga.

        Sesungguhnya, masa berlalu begitu pantas. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki ruang dan waktu untuk mengimbangi kehidupan dunia dan  akhirat. Hal ini jelas bedasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud
 "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. ( Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik. 
       
           Hanya tinggal saki baki sahaja lagi bermulanya sesi persekolahan 2015. Berbicara tentang tahun baharu pastinya setiap orang memasang niat dan azam untuk terus berjaya. Walaubagaimanapun, azam tidak akan tercapai sekiranya kita hanya berazam tanpa ada tindakan seiring dengan azam yang diniatkan. Saya juga mempunyai azam untuk tahun 2015 ini. Antara azam tersebut termasuklah menjadi seorang hamba Allah yang disayangi-Nya, seorang isteri yang taat kepada suami kerana-Nya, seorang ibu yang diredhoi-Nya, seorang anak yang solehah, seorang pendidik yang dikasihi Allah, seorang rakan yang menyayangi rakannya kerana Allah, seorang jutawan yang sentiasa suka bersedekah kerana-Nya. Insya Allah. Namun, jauh di sudut hati saya," mampukah saya capai semua azam tersebut?" "Allahuakbar! Bantulah hambamu untuk sampai kepada-Mu dalam keadaan engkau sayang dan redho kepadaku".
       
           Apabila kita berbicara tentang azam, setiap orang mempunyai azam yang berbeza-beza bagi memenuhi visi dan hala tuju yang jelas. Hal ini kerana hidup tanpa azam atau visi ibarat bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Justeru, azam memainkan peranan penting dalam kehidupan setiap orang. Pada pandangan saya, azam merujuk kepada tenaga yang melonjak dalam diri seseorang demi  mencapai kecemerlangan dalam diri. Sebenarnya, setiap detik dan saat yang dilalui mempunyai tujuan penting bagi manabur jasa dan bakti kepada seluruh umat manusia. Hal ini jelas melalui firman Allah yang bermaksud
 " Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada -Ku (Allah) "

         Bagi merialisasikan azam yang telah diniatkan, sesorang perlu memastikan dengan menyenaraikan azam yang telah dicapai pada tahun sebelumnya. "List down" setiap azam yang telah dicapai. Setelah kita pasti bahawa azam bagi tahun sebelumnya telah tercapai maka, niatkan azam yang telah dicapai menjadi lebih baik dari sebelumnya. Seterusnya, senaraikan pula azam yang masih belum dicapai di samping mengukuhkan strategi untuk mencapi azam yang tertangguh sebelumnya.

         Seterusnya, azam yang hendak dilaksanakan perlulah seiring dengan kemahiran untuk mencapai azam tersebut. Kemahiran perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencapai azam yang diingini. Yakni ilmu perlu dituntut setiap masa bagi mancapai kejayaan dunia dan akhirat seiring dengan sabda Rasullullah " Jika kamu ingikan kecemerlangan dunia maka tuntutlah ilmu, jika kamu inginkan kejayaan akhirat maka tuntutlah ilmu" Justeru, pentingnya ilmu dalam kehidupan seseorang. Contohnya, seorang penebang pokok tidak mampu menebang pokok dengan baik jika gergaji yang digunakan itu tumpul. Begitulah juga halnya dengan azam, jika tiada kemahiran terhadap azam yang hendak dicapai maka terkuburlah azam tersebut begitu sahaja. Jelaslah, ilmu memainkan peranan penting dalam diri seseorang bagi mencapai azam yang diingini.

         Akhir sekali, sikap memainkan peranan penting dalam diri setiap individu. Sikap yang positif menghasilkan tindakan yang positif, manakala, sikap negatif menghasilkan tindakan yang negatif. Bagaimana kita memandang setiap ketentuan Allah, begitulah Allah memandangnya kepada kita. Dek kerana itu, sentiasalah bersangka baik dalam setiap situasi agar hasil yang diperolehi juga baik dan positif.

    Setakat itu sahaja perkongsian yang dapat saya manfaatkan untuk diri saya sendiri dan semua pembaca blog yang disayangi. Semoga Allah membantu kita mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Insya Allah. Amin.
        
            

       

Selasa, 31 Disember 2013

Motivasi seorang guru

Teks : Intan Anis Shuhaila

Bismillahhirrahmanirrahim.

Asalammualaikum buat pembaca blog yang disayangi. Mudah-mudahan hari ini kita lebih bersemangat menjalankan rutin menjadi seorang insan yang diredhoi Ilahi. Subhanallah. Syukur ke hadrat Allah kerana Dia masih memberi nikmat untuk saya menulis satu lagi entri  yang bermanfaat hendaknya. Ingin saya memetik kata-kata baginda Rasullullah s.a.w iaitu " Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati". Malah, kenyataan tersebut turut dikukuhkan lagi oleh tokoh inspirasi tempatan, tidak lain tidak bukan Profesor Dato' Dr Muhaya. Sesungguhnya, perjalanan menuju Ilahi memerlukan kekuatan yang sangat jitu dan sentiasa istiqamah bagi mendepani ujian, cabaran, cubaan dan godaan yang dilalui. Sesungguhnya, Allah tidak menguji kamu melainkan ia sesuai dengan kemampuan kamu. Justeru, sebagai manusia yang akan kembali kepada-Nya, marilah kita sama-sama beramal untuk kesenangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Hari-hari yang dilalui begitu pantas berlalu. Hari ini, saya dan suami begitu sibuk mengemas rumah sewa yang saya diami sebelum ini kerana penghujung tahun akan berakhir dan saya akan ditempatkan di sekolah baharu. Banyak persiapan yang perlu dibereskan sebelum melangkah ke tahun 2014. Segala fail perlu dikemaskini bagi memudahkan guru-guru baharu tahun hadapan melaksanakan tugas mereka. Baru sebentar tadi, saya menonton TV Al-Hijrah. Saya menonton kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Melalui tontonan tersebut, saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang disampaikan oleh ustaz tersebut berkaitan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru. Sebenarnya, semua orang adalah guru. Ia bukan sahaja merujuk kepada guru yang berdafatar secara formal. Malah, semua orang adalah guru selagi mereka mampu menyampaikan perkara-perkara yang bermanfaat kepada orang lain. Guru yang paling hebat di muka bumi ialah baginda s.a.w. Baginda mempunyai ciri-ciri pendidik yang hebat untuk diteladani sehingga Islam berjaya menguasai seluruh pelusuk dunia. Antara ciri atau kreteria seorang guru yang profesional ialah :

1. Mempunyai Suara dan penampilan yang menarik.
Seorang guru yang memberi ilmu mestilah mempunyai suara yang bagus. Maksudnya, bukanlah suara yang merdu seperti Siti Nurhaliza. Tetapi, mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan itu tepat pada sasarannya. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai suara yang baik yang sememangnya dikurniakan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya, Rasullullah adalah guru yang terbaik kerana memiliki suara yang terbaik sehingga tersebarnya ilmu Islam di seluruh dunia. Suara baginda bukan sahaja merdu tetapi memiliki kekuatan yang luar biasa. Hal ini dikukuhkan lagi melalui sabda baginda s.a.w sendiri :

"Bahawa Allah tidak mengutuskan seorang Nabi melainkan bermuka tampan dan bersuara merdu. Sedangkan nabimu adalah yang terbagus raut mukanya dan merdu suaranya." (H.R At-Tirmidzi).
Jutseru, seorang guru mestilah mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan tepat pada sasarannya. Insyaallah.

Selain itu, seorang guru mestilah mempunyai penampilan yang menarik dan kemas. Apabila saya berbicara tentang guru, saya juga ingin menekankan bahawa ibu bapa juga merupakan guru yang paling dekat dengan anak-anak. Justeru, sekolah yang pertama bermula di rumah. Ibu bapa perlu mempunyai penampilan yang kemas dan sopan di hadapan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan meniru setiap perbuatan yang dipamerkan oleh ibu bapa. Begitu juga halnya pada seorang guru yang mengajar secara formal di sekolah. Rasullulah sendiri mempamerkan penampilan yang kemas dan bersih sehingga sedap mata memandang. Hal ini dibuktikan melalui sabda Rasullullah s.a.w. :

" Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan bagus. Juga kafankanlah ia pada orang yang meninggal di antara kalian." (Diriwayatkan oleh Muhammad Bin Basyar, dari Abdul Rahman bin Mahdi, dari Sufyan, dari Habib bin Ali Tsabit dari Maimun bin Abi Syabib yang bersumber dari Samur bin Junduh r.a)

Sabda Nabi tersebut jelas menunjukkan nabi seorang yang kemas dan mempunyai penampilan yang menarik. Justeru, setiap guru mesti mempamerkan ciri-ciri pakaian yang kemas di samping menepati syariat. Tidak kisah apapun yang dipakai, tetapi mestilah melambangkan ciri-ciri seorang Islam yakni menepati syariat. Insyaallah.

Ini sekadar motivasi ringkas untuk diri sendiri yang juga kadangkala terlepas pandang apa yang sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar pendidik. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada sesiapa sahaja bagi melayari kehidupan dunia yang sudah hampir di penghujungnya. Insyaallah. Mudah-mudahan saya dapat berkongsi lagi tips yang berkaitan pada entri yang berikutnya.

Wallahualam. mudah-mudahan Allah permudahkan.