Selasa, 31 Disember 2013

Motivasi seorang guru

Teks : Intan Anis Shuhaila

Bismillahhirrahmanirrahim.

Asalammualaikum buat pembaca blog yang disayangi. Mudah-mudahan hari ini kita lebih bersemangat menjalankan rutin menjadi seorang insan yang diredhoi Ilahi. Subhanallah. Syukur ke hadrat Allah kerana Dia masih memberi nikmat untuk saya menulis satu lagi entri  yang bermanfaat hendaknya. Ingin saya memetik kata-kata baginda Rasullullah s.a.w iaitu " Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati". Malah, kenyataan tersebut turut dikukuhkan lagi oleh tokoh inspirasi tempatan, tidak lain tidak bukan Profesor Dato' Dr Muhaya. Sesungguhnya, perjalanan menuju Ilahi memerlukan kekuatan yang sangat jitu dan sentiasa istiqamah bagi mendepani ujian, cabaran, cubaan dan godaan yang dilalui. Sesungguhnya, Allah tidak menguji kamu melainkan ia sesuai dengan kemampuan kamu. Justeru, sebagai manusia yang akan kembali kepada-Nya, marilah kita sama-sama beramal untuk kesenangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Hari-hari yang dilalui begitu pantas berlalu. Hari ini, saya dan suami begitu sibuk mengemas rumah sewa yang saya diami sebelum ini kerana penghujung tahun akan berakhir dan saya akan ditempatkan di sekolah baharu. Banyak persiapan yang perlu dibereskan sebelum melangkah ke tahun 2014. Segala fail perlu dikemaskini bagi memudahkan guru-guru baharu tahun hadapan melaksanakan tugas mereka. Baru sebentar tadi, saya menonton TV Al-Hijrah. Saya menonton kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Melalui tontonan tersebut, saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang disampaikan oleh ustaz tersebut berkaitan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru. Sebenarnya, semua orang adalah guru. Ia bukan sahaja merujuk kepada guru yang berdafatar secara formal. Malah, semua orang adalah guru selagi mereka mampu menyampaikan perkara-perkara yang bermanfaat kepada orang lain. Guru yang paling hebat di muka bumi ialah baginda s.a.w. Baginda mempunyai ciri-ciri pendidik yang hebat untuk diteladani sehingga Islam berjaya menguasai seluruh pelusuk dunia. Antara ciri atau kreteria seorang guru yang profesional ialah :

1. Mempunyai Suara dan penampilan yang menarik.
Seorang guru yang memberi ilmu mestilah mempunyai suara yang bagus. Maksudnya, bukanlah suara yang merdu seperti Siti Nurhaliza. Tetapi, mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan itu tepat pada sasarannya. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai suara yang baik yang sememangnya dikurniakan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya, Rasullullah adalah guru yang terbaik kerana memiliki suara yang terbaik sehingga tersebarnya ilmu Islam di seluruh dunia. Suara baginda bukan sahaja merdu tetapi memiliki kekuatan yang luar biasa. Hal ini dikukuhkan lagi melalui sabda baginda s.a.w sendiri :

"Bahawa Allah tidak mengutuskan seorang Nabi melainkan bermuka tampan dan bersuara merdu. Sedangkan nabimu adalah yang terbagus raut mukanya dan merdu suaranya." (H.R At-Tirmidzi).
Jutseru, seorang guru mestilah mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan tepat pada sasarannya. Insyaallah.

Selain itu, seorang guru mestilah mempunyai penampilan yang menarik dan kemas. Apabila saya berbicara tentang guru, saya juga ingin menekankan bahawa ibu bapa juga merupakan guru yang paling dekat dengan anak-anak. Justeru, sekolah yang pertama bermula di rumah. Ibu bapa perlu mempunyai penampilan yang kemas dan sopan di hadapan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan meniru setiap perbuatan yang dipamerkan oleh ibu bapa. Begitu juga halnya pada seorang guru yang mengajar secara formal di sekolah. Rasullulah sendiri mempamerkan penampilan yang kemas dan bersih sehingga sedap mata memandang. Hal ini dibuktikan melalui sabda Rasullullah s.a.w. :

" Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan bagus. Juga kafankanlah ia pada orang yang meninggal di antara kalian." (Diriwayatkan oleh Muhammad Bin Basyar, dari Abdul Rahman bin Mahdi, dari Sufyan, dari Habib bin Ali Tsabit dari Maimun bin Abi Syabib yang bersumber dari Samur bin Junduh r.a)

Sabda Nabi tersebut jelas menunjukkan nabi seorang yang kemas dan mempunyai penampilan yang menarik. Justeru, setiap guru mesti mempamerkan ciri-ciri pakaian yang kemas di samping menepati syariat. Tidak kisah apapun yang dipakai, tetapi mestilah melambangkan ciri-ciri seorang Islam yakni menepati syariat. Insyaallah.

Ini sekadar motivasi ringkas untuk diri sendiri yang juga kadangkala terlepas pandang apa yang sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar pendidik. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada sesiapa sahaja bagi melayari kehidupan dunia yang sudah hampir di penghujungnya. Insyaallah. Mudah-mudahan saya dapat berkongsi lagi tips yang berkaitan pada entri yang berikutnya.

Wallahualam. mudah-mudahan Allah permudahkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan