Rabu, 31 Disember 2014

Azam 2015

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirrahmanirrahim.

Asalammualaikum w.b.t.

        Sekali lagi saya memohon rasa syukur yang tidak terhingga kepada Pencipta Alam Semesta, Allah s.w.t kerana saya masih diberi peluang dan ruang untuk saya terus berkarya bagi menabur manfaat serta kemaslahatan untuk diri sendiri dan semua pembaca blog yang disayangi. Tidak lupa selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya.  "Terimakasih Allah kerana Engkau selamatkan aku dari segala bentuk bencana dan ujian yang mungkin aku sendiri tidak mampu menhadapinya. Tinggikanlah darjat mereka yang telah Engkau uji mereka dengan segala bentuk bencana yang berlaku dan ampunkanlah kesalahan-kesalahan mereka kerana sesungghunya mereka tidak mengetahui". Dengan kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada guru saya kerana melalui dialah terciptanya blog ini sekaligus membantu saya untuk terus berkarya. Semoga Allah merahmati beliau dan keluarga.

        Sesungguhnya, masa berlalu begitu pantas. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki ruang dan waktu untuk mengimbangi kehidupan dunia dan  akhirat. Hal ini jelas bedasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud
 "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. ( Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik. 
       
           Hanya tinggal saki baki sahaja lagi bermulanya sesi persekolahan 2015. Berbicara tentang tahun baharu pastinya setiap orang memasang niat dan azam untuk terus berjaya. Walaubagaimanapun, azam tidak akan tercapai sekiranya kita hanya berazam tanpa ada tindakan seiring dengan azam yang diniatkan. Saya juga mempunyai azam untuk tahun 2015 ini. Antara azam tersebut termasuklah menjadi seorang hamba Allah yang disayangi-Nya, seorang isteri yang taat kepada suami kerana-Nya, seorang ibu yang diredhoi-Nya, seorang anak yang solehah, seorang pendidik yang dikasihi Allah, seorang rakan yang menyayangi rakannya kerana Allah, seorang jutawan yang sentiasa suka bersedekah kerana-Nya. Insya Allah. Namun, jauh di sudut hati saya," mampukah saya capai semua azam tersebut?" "Allahuakbar! Bantulah hambamu untuk sampai kepada-Mu dalam keadaan engkau sayang dan redho kepadaku".
       
           Apabila kita berbicara tentang azam, setiap orang mempunyai azam yang berbeza-beza bagi memenuhi visi dan hala tuju yang jelas. Hal ini kerana hidup tanpa azam atau visi ibarat bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Justeru, azam memainkan peranan penting dalam kehidupan setiap orang. Pada pandangan saya, azam merujuk kepada tenaga yang melonjak dalam diri seseorang demi  mencapai kecemerlangan dalam diri. Sebenarnya, setiap detik dan saat yang dilalui mempunyai tujuan penting bagi manabur jasa dan bakti kepada seluruh umat manusia. Hal ini jelas melalui firman Allah yang bermaksud
 " Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada -Ku (Allah) "

         Bagi merialisasikan azam yang telah diniatkan, sesorang perlu memastikan dengan menyenaraikan azam yang telah dicapai pada tahun sebelumnya. "List down" setiap azam yang telah dicapai. Setelah kita pasti bahawa azam bagi tahun sebelumnya telah tercapai maka, niatkan azam yang telah dicapai menjadi lebih baik dari sebelumnya. Seterusnya, senaraikan pula azam yang masih belum dicapai di samping mengukuhkan strategi untuk mencapi azam yang tertangguh sebelumnya.

         Seterusnya, azam yang hendak dilaksanakan perlulah seiring dengan kemahiran untuk mencapai azam tersebut. Kemahiran perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencapai azam yang diingini. Yakni ilmu perlu dituntut setiap masa bagi mancapai kejayaan dunia dan akhirat seiring dengan sabda Rasullullah " Jika kamu ingikan kecemerlangan dunia maka tuntutlah ilmu, jika kamu inginkan kejayaan akhirat maka tuntutlah ilmu" Justeru, pentingnya ilmu dalam kehidupan seseorang. Contohnya, seorang penebang pokok tidak mampu menebang pokok dengan baik jika gergaji yang digunakan itu tumpul. Begitulah juga halnya dengan azam, jika tiada kemahiran terhadap azam yang hendak dicapai maka terkuburlah azam tersebut begitu sahaja. Jelaslah, ilmu memainkan peranan penting dalam diri seseorang bagi mencapai azam yang diingini.

         Akhir sekali, sikap memainkan peranan penting dalam diri setiap individu. Sikap yang positif menghasilkan tindakan yang positif, manakala, sikap negatif menghasilkan tindakan yang negatif. Bagaimana kita memandang setiap ketentuan Allah, begitulah Allah memandangnya kepada kita. Dek kerana itu, sentiasalah bersangka baik dalam setiap situasi agar hasil yang diperolehi juga baik dan positif.

    Setakat itu sahaja perkongsian yang dapat saya manfaatkan untuk diri saya sendiri dan semua pembaca blog yang disayangi. Semoga Allah membantu kita mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Insya Allah. Amin.
        
            

       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan