Rabu, 25 Disember 2013

Kembara ilmu sang pencinta...

Dengan lafaz bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum buat semua pembaca blog yang dikasihi. Terlebih dahulu ingin saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada pencipta alam semesta Allah s.w.t kerana dengan izinnya, saya diberi peluang untuk menulis entri pertama di blog ini di samping dapat menyedut udara kurniaan-Nya tanpa perlu membayarnya walau sesenpun. Subhanallah. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. keluarga dan para sahabatnya.

Buat pengetahuan pembaca blog, kemahiran mengarang bukanlah kemahiran yang saya miliki. Malah, minat mengarang tidak tertanam dalam jiwa sejak kecil. Namun, Alhamdulilah, peluang yang diberi, memandu saya untuk terus menulis dalam entri pertama blog saya ini. Sedikit kemahiran yang saya miliki salah satunya kemahiran berkomunikasi. Tambahan pula saya seorang guru. Jadi, saya lebih banyak bercakap jika dibandingkan dengan mengarang. Walaubagaimanapun, sebagai pendidik kemahiran mengarang dan berkomunikasi perlu seiring. Barulah matlamat yang hendak dicapai tepat pada sasarannya.

Untuk pengetahuan pembaca blog, genap hari ini saya sudah lima tahun memegang jawatan sebagai guru. Kerjaya guru bukanlah sesuatu yang mudah, berbeza keadaannya dengan guru dahulu dan guru kini. Guru kini perlu lebih stabil dari segi emosi, mental dan fizikal, tanpa kesempurnaan terhadap ketiga-tiga elemen ini pasti seorang guru yang dianggap pendidik tewas dalam kerjayanya. Saya juga dilahirkan dalam keluarga yang mana ibu dan ayah juga seorang guru yang begitu komited terhadap tugas masing-masing. Sebagai anak sulung, saya melihat bagaimana kedua ibu bapa saya bertungkus lumus memajukan anak bangsa sendiri. Kadangkala terlintas di hati perasaan sedih terhadap mereka kerana terpaksa menyeimbangkan keperluan keluarga dan kerjaya. Rasa bangga dan syukur melihat ayah dan ibu bekerja sebagai guru. Saya sendiri mempunyai matlamat dan cita-cita untuk menjadi 'murabbi' hebat seperti mereka. Namun, tidak keterlaluan saya katakan kerjaya guru dahulu dan kini sangat berbeza.

Jika dulu, guru mungkin datang ke sekolah dan mengajar. Kini, keadaan itu mungkin jauh bezanya. Guru dibebankan dengan pelbagai tugas. Sudahlah selama ini guru dibebankan dengan tuagas-tugas pengkeranian. Kini, terpaksa pula berdepan dengan sistem online PBS yang memeningkan. Malah ada guru yang hadir ke sekolah tidur akibat berjaga malam menunggu sistem dalam talian ini berfungsi dengan baik. Selain itu, sistem e-prestasi. Sepatutnya ia bermula pada tahun 2015 tetapi telah dicepatkan pada tahun 2014. Guru sering disalahkan konon-kononnya mereka tidak menjalankan tugas, padahal sistem yang bermasalah dan perlu dikaji keberkesanannya. Hal ini boleh diibaratkan seperti sebuah telivisyen LCD yang canggih tetapi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana sistem wayar di dalamnya tidak sistematik. Saya sendiri melalui perit maungnya bekerja sebagai guru. Malah kualiti p & p di dalam kelas semakin merosot akibat terpaksa menyiapkan tuagasan-tugasan yang dikehendaki oleh pihak atasan dengan segera.

Adakalanya, jauh di sudut hati ingin saya berhenti dari tugas yang memenatkan ini ditambah pula dengan segelintir pihak pentadbiran yang tidak profesional. Saya akui mengajar merupakan minat saya sejak kecil lagi. Hal ini kerana p&p yang ditonjolkan oleh ibu saya sewaktu saya di bangku sekolah memberi kefahaman yang berkesan kepada saya. Ia sekaligus menarik minat saya untuk jadi seperti beliau. Beliau juga telah beberapa kali dianugerahkan sebagi guru cemerlang Bahasa Inggeris. Namun, mungkin dulu lain sekarang lain. Kadangkala, saya menyuarakan hasrat hati untuk berehenti dari kerjaya ini kepada suami. Suami meminta saya bersabar kerana katanya kerjaya guru adalah kerjaya mulia. Saya berdoa supaya Allah jelaskan hala tuju saya. Saya bukan tidak berminat mendidik anak bangsa sendiri, tetapi adakalanya saya terpaksa akur dengan kehendak sesetenagh pihak yang mahukan itu dan ini. Tertekan rasanya. Moga suatu masa saya dapat membina pusat pendidikan saya sendiri di rumah sekaligus mendidik anak saya sendiri. Hal ini kerana pendidikan yang sejati bermula dari rumah. Moga Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat ku.

Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya ) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan mereka ayat-ayat-Nya bertambah iman. Kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakal".

Mudahan aku mendapat petunjuk dari-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan