Isnin, 9 Jun 2014

Pendidikan dan murabbi

Teks:: Intan Anis Shuhaila bt Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim..

Alhamdulillah..syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana Dia masih memberi ruang dan peluang untuk saya terus menulis. Semoga pembaca blog juga berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Hari ini seperti hari-hari yang biasa dilalui, saya agak lewat memulakan rutin harian. Biasanya pada waktu cuti, saya memulakan rutin harian sebelum masuk waktu subuh. Namun hari ini saya agak lewat bangun dan setelah usai mengerjakan solat subuh saya tertidur semula. Sebenarnya, setiap kali bangun pagi saya akan pastikan saya telah membaca satu ayat al-Quran dan membaca buku atau majalah-majalah ilmiah. Hal ini saya lakukan kerana saya khuatir sekiranya saya tidak memegang salah satu ayat Allah sudah tentu hidup saya akan terbabas dan huru-hara serta rasa resah dan gelisah. Malah, buku-buku ilmiah mahupun buku-buku motivasi membantu saya untuk lebih bermotivasi kerana kita tahu bahawa iman seseorang itu akan turun naik dari masa ke masa begitu jugalah motivasi diri seseorang. Saya teringat mutiara kata Imam Syafie yang berbunyi "sekiranya iman itu ada satu, tidak ada yang tambah dan kurang, maka tidak ada kelebihan apa-apa bagi seseorang dan semua manusia itu sama. Tetapi dengan sempurnanya iman orang mukmin akan memperolehi keunggulan di dalam syurga. Sebaliknya bagi orang yang imannya kurang mereka akan masuk neraka. Nauzubillah..

Sesungguhnya, masa belalu begitu pantas. Banyak persediaan untuk hidup dan mati saya masih belum sempurna.  Beberapa hari sahaja lagi cuti sekolah akan berakhir. Namun, banyak persoalan yang bermain di fikiran saya. Salah satunya, bagaimana saya mampu untuk menjadi seorang guru yang cemerlang di dunia dan akhirat tambahan hari ini guru menghadapi cabaran yang sangat besar termasuklah kerenah anak-anak remaja yang semakin kurang adabnya dan tidak berminat menimba ilmu. Mudah-mudahan Allah membantu saya dan kita semua untuk menjadi seorang guru yang mursyid. Teringat saya pada kata-kata Profesor Dr Muhaya, diri kita adalah  berdasarkan apa yang kita baca, apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar. Malah, minda kita turut dipengaruhi oleh bahan bacaan yang kita baca. Hal ini demikian kerana bahan bacaan yang betul mampu meningkatkan kecemerlangan minda seseorang. Kadangkala membaca serta menonton berita-berita negatif membuatkan kita rasa resah dan gelisah menjalani kehidupan seharian. Contohnya berita berkaitan jenayah, isu kemalangan dan isu politik yang negatif. Semua ini mempengaruhi minda kita menjadi kurang cerdas. Secara jujurnya, saya tidak gemar membaca dan menonton berita kerana kandungan di dalamya tidak membantu minda saya untuk jadi lebih hebat. Membaca al-quran dan bahan bacaan  ilmiah yang lain menjadikan saya lebih tenang.  Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan saya dan pembaca blog untuk terus menimba ilmu melalui ayat-ayat Allah yang maha hebat serta disusuli dengan  bahan bacaan ilmiah yang lain.  InsyaAllah.

Menyentuh tentang ciri-ciri seorang guru yang mursyid, saya pernah terbaca buku "Petunjuk Jalan Kekayaan" yang dikarang oleh Dr Rusly Abdullah yang mana ia menekankan tentang ciri-ciri guru yang perlu dijauhi jika ingin mencapai kecemerlangan dalam hidup antaranya :

1. Guru yang gemar menunjuk-nunjuk sifat luarannya dan percakapannya tidak sama dengan perlakuannya atau cakap tak serupa bikin.
2. Guru yang mudah tersinggung dan tidak boleh menerima teguran
3. Guru yang sering menngunakan sihir dan hal-hal mistik dan ajarannya menjadikan kita was-was dan meragukan
4. Guru yang sering membotakkan kepala kerana membotakkan kepala dianggap serperti budha dan ia bukanlah yang dituntut dalam agama malah Rasullullah s.a.w hanya membotakkan kepala sekali seumur hidup.
5. Guru yang suka dipuji dan meninggi diri.
6. Guru yang tidak pandai menyimpan rahsia, tidak pandai menjaga lidah dan gemar becakap sebarangan atau cakap lepas.
7. Guru yang masih gilakan harta dunia dan nikmat dunia.
8. Guru yang ajarannya banyak mengelirukan.
9. Guru yang mengaku alim tetapi ilmu masih banyak belum diterokai.

Mudah-mudahan apa yang disampaikan mampu memberi inspirasi kepada saya untuk terus menjadi hamba Allah yang diredhoi dan dikasihi. Secara jujurnya, sebagai seorang guru masih banyak kekurangan dalam diri saya untuk menjadi seorang guru yang mursyid. Jika dilihat melalui mata kasar, mungkin kerana ciri-ciri tersebut tiada dalam diri seorang guru dek kerana itulah segelintir anak-anak remaja hari ini tidak minat belajar dan kurang adabnya sebagai seorang anak. Benrlah kata-kata Profesor Dr Muhaya "Jika kita mahu dunia sekeliling berubah, kita perlu terlebih dahulu bermuhasabah diri melakukan perubahan dalam diri". InsyaAllah. Mudah-mudahan penulisan saya ini mampu memberi inspirasi kepada saya dan semua pembaca blog yang disayangi. Sekadar itu sahaja perkongsian saya moga memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian.

Amin ya rabbala'lamin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan