Rabu, 4 Jun 2014

Solat Dhuha

Teks: Intan Anis Shuhaila Md Fuad


Bismillahhirahmanirahim..

Dengan izin Allah s.w.t, saya terlebih dahulu memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana Dia masih memberi peluang kepada saya untuk  terus hidup dan memberi  kesempatan waktu untuk saya terus menulis. Buat pembaca blog yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian, saya sebenarnya telah lama tidak menulis kerana kekangan waktu yang tidak dapat dielakkan. Namun, syukur Allah masih memberi ruang kepada saya untuk terus menulis sesuatu yang mungkin dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri dan orang lain. InsyaAllah. Benarlah firman Allah tentang masa dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:
  "Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh  serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"
 Melalaui Kesempatan waktu yang diberikan, sekali lagi saya ingin berterima kasih kepada guru yang banyak membantu saya dalam penulisan blog ini. Moga Allah merahmati insan yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Telah seminggu berlalunya cuti sekolah. Waktu cuti sebeginilah saya mengambil kesempatan untuk mengabdikan diri kepada Pencipta. Hari ini saya ingin kongsikan dengan pembaca blog berkaitan dengan solat dhuha. Secara jujurnya, saya bukanlah pakar berkaitan dengan solat dhuha cuma ingin berkongsi beberapa maklumat yang saya baca dan amalkan melaluinya. Sewaktu bekerja, saya tidak pernah ada ruang untuk melakukan solat sunat dhuha. Maka, waktu cuti beginalah saya mengambil kesempatan untuk melaksanakan solat dhuha di samping mengukuhkan solat-solat  fardhu yang lain. Saya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan rakan-rakan pembaca blog juga diberi ruang untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak penderitaan kamu."

Solat dhuha merupakan solat sunat yang dilakukan pada awal pagi iaitu bermula pada pukul 7.00 pagi  hingga pukul 10.00pagi.  Solat dhuha adalah solat yang dilakukan sebelum memulakan berbagai aktiviti harian. Hal in demikian kerana pada waktu pagi semua orang akan sibuk dengan berbagai aktiviti dan rutin masing-masing. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w "hati orang tua sentiasa muda dalam dua keadaan yakni kasihkan dunia dan dalam keadaan panjang cita-cita" (Bukhari & muslim). Solat dhuha bergantung juga pada keinginan dan juga berhubung dengan masa yang dimiliki. Hal ini demikian kerana setiap orang berbeza-beza dalam meluangkan masa untuk melakukan ibadah ini. Persoalannya, mengapakah solat dhuha perlu dilaksanakan dalam kehidupan seseorang? Terdapat beberapa manfaat yang menjadikan solat dhuha penting dalam kehidupan seseorang Antaranya :

1. Rasa syukur kepada Allah s.w.t.
Tidak semua individu mengetahui dengan yakin tentang kepentingan yang terkandung dalam solat dhuha. Sesetengah orang menganggap solat dhuha tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan mereka. Sebenarnya, solat dhuha mengandungi berbagai unsur yang amat besar dalam membentuk karakter seseorang.Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud:
 "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Allah membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan jangnlah kamu kufur akan nikmatku."
Bersyukur kepada Allah merupakan sesuatu yang amat besar bagi manusia sebagai makhluk yang telah diciptakan dan dilimpahi berbagai kenikmatan. Namun, tidak semua orang yang menyedari hakikat tersebut. Manusia termasuklah saya sendiri seakan-akan merasa sombong dan tidak mahu berterima kasih sedikitpun.Sesungguhnya, semua yang ada di dunia ini hanya milik mutlak Allah. Allah yang berhak serta mempunyai kuasa teragung untuk menentukan segalanya. Solat Dhuha memberi kesedaran  tentang perlunya  memohon kepada Allah serta meminta petunjuk-Nya sebagai bekalan agar terus berada pada jalan yang diredhoi. InsyaAllah.

2. Ingat kepada Allah ketika senang
Sesungguhnya, manusia itu cenderung mengingati Allah ketika memiliki masalah atau mengalami musibah. Namun begitu, ketika hidupnya senang tanpa masalah, kebanyakan manusia akan lupa kepada Tuhannya. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah dalam surah Yunus yang bermaksud:
"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikian diperelokan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan".
Biasanya, bagi individu yang bekerjaya seperti saya, kita akan memulakan aktiviti harian pada awal pagi. Begitu juga dengan suri rumah yang sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah mahupun menguruskan keperluan suami yang bekerja. Pada awal-awal pagi, badan kita masih segar dan tenaga masih kuat ditemani sinar mentari dan udara pagi yang segar. Jika pada saat seperti itu kita mengingati Allah, kemudian solat dhuha dengan hati yang tunduk dan khusyuk mengadap kepada-Nya. Maka InsyaAllah Allah pasti akan melimpahkan berbagai kurnia dan kasih sayang-Nya kepada kita semua. Sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang ingat pada Allah ketika senang dan lapang, maka Allah akan mengingatinya ketika sedih dan sempit. Sehingga Allah akan sentiasa berada dekat dengan orang yang seperti ini"

3. Keuntungan yang besar dalam kehidupan
Melalui solat dhuha, seseorang juga akan mendapat keuntungan yang besar dalam kehidupannya. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. :
"Allah s.w.t. berfirman, Wahai anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat dhuha, kerana dengan solat tersebut, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya." (HR. Hakim dan Tabrani). Hal ini sering dikaitkan dengan rezeki seseorang.Orang yang sentiasa melaksanakan dhuha, biasanya dimurahkan rezeki dan dikurniakan keberkatan dari Allah. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca blog semua, marilah kita sama-sama melengkapkan diri kita melalui kekuatan solat dhuha mahupun solat-solat fardhu dan solat-solat sunat yang lain agar kita cemerlang di dunia dan akhirat.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya kongsikan buat tatapan pembaca blog sekalian. Moga ia memberi manfaat kepada saya dan kita semua.

Wallahua'lam..mudah-mudahan Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat kita semua.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan