Isnin, 22 Disember 2014

Perbelanjaan Akhir Tahun Keluarga

Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum buat semua pembaca blog yang dikasihi dan dirahmati Allah. Alhamdulilah, syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana limpah dan rahmatnya saya diberi peluang untuk terus menulis di blog ini, tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Agak lama saya tidak menulis dalam blog ini. Pejam celik, pejam celik rupanya kita semakin hampir di ambang 2015. Tanpa kita sedari, masa berlalu begitu pantas. Sudahkah kita bersedia untuk persediaan hidup dan mati kita? Itulah antara persoalan yang sering berlegar-legar dalam fikiran saya selama ini.
      Apabila kita semakin hampir memasuki tahun baharu, pastinya ramai antara kita yang memikirkan tentang perbelanjaan ahli keluarga khusunya ibu bapa yang sering memikirkan tentang perbelanjaan keperluan anak-anak setelah memasuki alam persekolahan. Hari ini, kos sara hidup yang tinggi kadang kala menyukarkan ibu bapa untuk membeli barang keperluan anak-anak tambahan pula sesetengah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak. Melihat kepada senario ini, betapa pentingnya untuk kita menilai gaya hidup pada masa depan. Tidak dinafikan, pendapatan naik seiring dengan kenaikan inflasi, persoalannya adakah kita mampu untuk terus berbelanja besar lagi kerana tekanan kewangan dalam kitaran kehidupan peribadi dan keluarga kita.
    Pembaca blog yang dikasihi, di sini ingin saya berkongsi beberapa tips berkaitan perbelanjaan anak-anak sempena tahun 2014. Firman Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 67 yang bermaksud :
   "Dan juga mereka (yang diredhoi Allah itu ialah ) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil)". Firman Allah tersebut jelas menggambarkan kepada kita betapa pentingnya merancang perbelanjaan secara berhemah.
       Antara tips yang dapat saya kongsikan buat pembaca blog sekalian :
1. Berbelanja ikut kemampuan. Ibu bapa mahupun masyarakat  perlu berbelanja mengikut kemampuan kerana ia membantu dalam menjaga hak kita, keluarga mahupun masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai pendapatan RM4000 pastinya berbeza perbelanjaan dengan ibu bapa yang berpendapatan RM10000. Justeru, berbelanja secara berhemah dan bersederhana sangat dituntut dalam Islam.

2. Kitar semula pakaian atau barangan yang telah digunakan oleh adik-beradik yang lain. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai pasti sukar untuk membuat pilihan bagi membeli barangan keperluan anak-anak. Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang mahukan anaknya berpakain elok dan serba baharu, tetapi jika pakaian anak yang sebelumnya masih elok dan boleh digunakan, tidak salah rasanya ibu bapa mengambil inisiatif untuk menggunakan semula pakaian yang telah digunakan oleh anak sebelumnya. Hal ini membantu ibu bapa mengurangkan perbelanjaan di samping membantu ibu bapa mengamalkan sikap berjimat cermat sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Sebagai seorang guru, saya selalu dihantui dengan persoalan "Pakaian seragam sekolah terlalu mahalla cikgu, Bagaimana saya mampu membelinya sedangkan pendapatan saya pun tidak cukup untuk membeli barangan keperluan yang lain?." Pakaian seragam sekolah mungkin boleh dibeli daripada rkan-rakan yang tidak lagi memakainya dengan harga yang mungkin lebih murah dari pakaian seragam baharu. Misalnya, pelajar tingkatan 5 yang telah meninggalkan alam persekolahan boleh menjual pakaian seragam tersebut kepada adik-adik yang masih bersekolah atau pelajar tahun 6 yang telah meninggalkan sekolah boleh menjual pakaian tersebut kepada rakan-rakan sekolah rendah yang lain dengan harga yang jauh lebih murah.

3. Ibu bapa perlu membuat perbandingan harga bagi setiap barangan keperluan yang hendak dibeli.  Pada pandangan peribadi, saya melihat masyarakat Malaysia kurang gemar membuat perbandingan harga sebelum benar-benar mahu membeli barang tersebut. Perbandingan harga atau "window shopping" perlu dilakukan supaya ibu bapa dapat memilih barang yang lebih berkualiti dengan harga yang jauh lebih murah di samping dapat mempelbagaikan barang keperluan yang hendak dibeli.

4. Barang berjenama atau barang tidak berjenama? Terdapat segelintir anak-anak mahupun ibu bapa lebih gemar memilih barang berjenama berbanding barang biasa lantaran segelintir masyarakat kita disogokkan dengan barang berjenama lebih berkualiti. Sebenarnya, barang buatan Malaysia juga lebih berkualiti dan harganya jauh lebih murah berbanding barang berjenama. Jika ibu bapa pandai menilai dan menggunakannnya dengan cermat, barang tersebut jauh lebih baik malah setanding dengan barang berjenama. Malah, anak-anak perlu dididik supaya mereka mampu menilai samaada barang tersebut kemahuan atau keperluan.

5. Merancang bajet awal. Terdapat segelintir ibu bapa telah melaksanan perancangan perbalanjaan sejak awal lagi. Contohnya, bermula bulan Januari lagi ibu bapa telah mnyimpan RM50 sebagi tabungan untuk anak-anak setelah bermulanya sesi persekolahan tahun berikutnya. Terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu menyimpan RM50 atau lebih mengikut kemampuan masing-masing.

Saya rasa sekadar itu sahaja yang dapat saya kongsikan bersama-sama pembaca blog semua. Semoga apa yang disampaikan dapat memberi inspirasi kepada kita semua. Sesungguhnya, yang baik itu dari Allah s.wt. dan yang jelek itu dari kelemahan diri saya sendiri. Semoga kita sentiasa beramal kerana-Nya. INSYAALLAH.

.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan