Selasa, 20 Disember 2016

Kecurian Masa Dalam Kalangan Wanita


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad (Wanita dan Masa)


Masa ibarat emas. Begitulah pepatah yang sinonim dengan masyarakat Melayu kita hari ini yang menganggap masa sebagai sesuatu yang berharga. Malah, pepatah arab juga ada menyebut ‘Masa ibarat pedang, jika kita tidak menggunakan pedang tersebut sebaik mungkin pasti ia akan memotong kepala kita.’  Malah Allah juga bersumpah dengan masa dalam surah Al-Ash ayat 1 hingga 3 yang bermaksud :

‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal salih dan saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan saling nasihat menasihati dalam kesabaran’.

Menyentuh perihal masa, ramai orang tidak mempunyai masa berkualiti dalam kehidupan. Malah, saya sendiri kadang kala terbabas dalam menguruskan masa. Kehidupan seorang isteri dan ibu sangat meitikberatkan masa yang berkualiti. Tanpa masa yang berkualiti, pasti berlakunya kepincangan dalam sebuah institusi kekeluargaan. Apabila kita berbicara bekaitan masa berkualiti, perkara yang ingin saya fokuskan di sini adalah masa berkualiti menurut acuan Allah. Bagaimanakah masa berkualiti acuan Allah? Ya, masa berkualiti  acuan Allah adalah masa yang digunakan untuk memandu masa depan seseorang menuju  syurga. Walaubagaimanapun masa yang tidak berkualiti adalah masa yang memandu seseorang ke neraka-Nya. Nauzhubillah..

Jika kita amati panorama pada waktu pagi, pasti kita dapat melihat kehidupan ciptaan Allah yang sedang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Biasanya, pada waktu pagi, mentari akan melaksanakan tanggungjawabnya menyinari alam semesta tanpa terabai sedikitpun kerana akur terhadap perintah Allah. Begitu juga kita sebagai manusia, bermula dengan bangun awal pagi, kemudian berwuduk dan menunaikan solat subuh justeru menyusun kembali aktiviti dan janji-janji yang telah dibuat.

Ingin saya memetik hasil tulisan Prof. Madya Dr Harina dalam bukunya yang berjudul ‘5 Gaya Hidup Wanita Cemerlang’ berkaitan punca-punca kecurian masa dalam kalangan wanita khusunya. Antaranya :

1.       Tiada Perancangan

Tugasan serta langkah-langkah yang tidak disusun dengan rapi dan jelas pasti akan   menyebabkan masa melarikan diri dari celahan jari-jari. Perancangan merupakan salah satu perkara untuk berjaya. Berdasarkan kepada perancangan masa, setiap jam yang digunakan untuk merancang akan memandu seseorang bertindak tiga hingga empat jam.

2.       Kekurangan Waktu

 Seseorang yang kekurangan waktu menganggap tugas yang dilakukan membebankan walaupunun tugas tersebut mampu dilakukan oleh orang lain.

3.       Golongan Yang Datang Berziarah Tanpa Membuat     
 Perancangan Terlebih Dahulu

   Ramai orang begini. Malangnya mereka mencuri masa kita. Mungkin nasihat bagi golongan yang berziarah secara mengejut ini adalah dengan mencadangkan waktu yang sesuai untuk mereka datang.

4.       Tidak menggunakan waktu-waktu yang padat

Sewaktu menunggu bas atau menunggu doktor misalnya, kita sepatutnya mengisi masa dengan membaca buku atau mendengar ayat-ayat suci Al-quran. Kita juga boleh menulis nota-nota ringan atau merangka laporan untuk tugasan yang diperlukan. Di barat, mereka mempunyai kelebihan tidak membuang masa, kerana itulah sukar melihat penumpang di dalam kereta api atau bas merenung ke arah jalan dan berpendangan di antara satu sama lain sebagaimana yang kita lakukan. Biasanya mereka membaca buku atau surat khabar atau mendengar sebagai halwa telinga. Tidak boleh tidak mereka mesti mengambil manfaat tersebut.


5.       Sifat suka bertangguh yang tidak wajar

Tidak melaksanakan tanggungjawab pada waktunya dengan memberi alasan yang rapuh seperti cuaca buruk dan malas. Penangguhan menjadi sebab pertama yang akan merosakkan jadual kita. Ia akan menukarkan yang biasa menjadi penting, kerja yang mudah menjadi kerja yang mendesak dan menjadikan kita kekal dalam dilema dan terpaksa berlari tanpa henti.


6.       Tiada kemampuan untuk menolak

Menerima sahaja setiap permintaan daripada orang sekeliling akan menjadikan kehidupan kita padat dan masa kita terbuang begitu sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap hari memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (QS Al-Hasyr (59):18)

Sekadar itu dahulu perkongsian buat para pembaca. Semoga apa yang disampaikan memberi manfaat dan inspirasi untuk kita mengendalikan masa dengan lebih cemerlang. Wallahua’lam.




                                   



Isnin, 19 Disember 2016

Fenomena Hutang di Malaysia


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhmmad Fuad

 

Segal puji-pujian saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasihnya, kita masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan di dunia fana ini. Pejam celik pejam celik kita telah menghampiri tahun 2017. Pastinya ibu bapa di luar sana sibuk memikirkan hal kelengkapan anak-anak ke sekolah. Keadaan tersebut turut terpalit pada diri saya ditambah dengan bebanan hutang yang rasanya tak sabar untuk saya langsaikan. Walaubagaimanapun, hutang besar yang melibatkan hutang rumah misalnya mengambil masa untuk dilangsaikan.

 Sebut tentang hutang, tidak dapat dinafikan bahawa membuat pinjaman ataupun hutang sudah menjadi fenomena biasa bagi masyarakat kita hari ini. Bagi kebanyakan kita fenomena ini mungkin bermula dengan pinjaman pendidikan diikuti pula dengan pembiayaan perumahan dan kenderaan seterusnya pinjaman peribadi. Jika kita amati gaya hidup nenek moyang kita dahulu kala, mereka kebanyakannya membeli barang keperluan seperti rumah dan kereta secara tunai. Hal ini kerana mereka sukar untuk mendapatkan pinjaman. Ia juga turut dikaitkan dengan sikap mereka yang suka berjimat cermat.

 Jika ditelusuri, perbezaan gaya hidup masyarakat kini berbeza sekali dengan nenek moyang terdahulu. Antara gaya hidup negatif masyarakat Malaysia hari ini :

 

1.       Budaya menunjuk-nunjuk

Sebahagian besar masyarakat hari ini mengukur kekayaan berlandaskan kekayaan dan kebendaan atau materialistik dan bukannya budi pekerti dan iman semata-mata justeru ramai yang ingin hidup mewah dan menunjuk-nunjuk sehingga hutang menjadi sebahagian budaya kehidupan. 

2.       Suka begaya melebihi kemampuan

Majoriti masyarakat hari ini terutama golongan muda lebih gemar begaya tanpa mengikut kemampuan masing-masing seperti peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’. Mereka kebanyakannya tidak tahu membezakan antaran keperluan atau kehendak. Hal ini juga boleh disamaertikan ‘bior pape asalkan bergaya’ 

3.       Berbelanja ikut nafsu

Ramai antara kita yang gemar berbelanja mengikut nafsu. Berbelanja mengikut nafsu atau dikenali sebagai ‘konsumerisme’ iaitu memiliki barang yang banyak adalah bagus pada pandangan masyarakat. Untuk pengetahuan pembaca, saya pernah bertandang ke rumah beberapa orang rakan. Ada dalam kalangan mereka ini memiliki barang yang terlalu banyak di rumah sehingga tidak mempunyai ruang yang menenangkan malah nampak serabut.

4.       Kurang pendedahan atau kurang ilmu.

Masyarakat yang kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan akan berbelanja secara boros atau tidak berhikmah. Golongan belia terutamanya berbelanja di luar kemampuan sebenar kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan.

 
Semoga masyarakat di luar sana cakna dan ambil peduli perkara-perkara yang berkaitan dengan hutang kerana Rasullullah s.a.w pernah bersabda :

                ‘ Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari’.

Wanita Dan Aurat


Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad


Wanita dan aurat tidak dapat dipisahkan. Ya! aurat kita sangat perlu diberi pehatian. Anda seorang perempuan? Saya juga perempuan. Kita bertuah kerana dilahirkan sebagai seorang perempuan. Allah telah menetapkan aurat perempuan sangat perlu diberi perhatian. Hal ini kerana kita adalah hamba-Nya yang terpilih. Jadi, keistimewaan tersebut perlu dipelihara sebaiknya. Apabila semua asas dijaga dengan baik in sya Allah kita akan matang sebagai wanita yang baik dan solehah.

 
Wanita yang baik adalah wanita yang solehah yang akan menjadi isteri dan ibu yang solehah kepada suami dan anak-anak. Menyebut tentang aurat, ramai dalam kalangan wanita hari ini yang memandang remeh tentang isu tersebut. Saya pernah bertanya kepada beberapa orang anak didik perempuan saya tentang aurat. Kebanyakan mereka memberi alasan menutup aurat itu perlu menjadi seorang yang solehah. Antara dialog mereka berbunyi begini :

 

 ‘ Ala..cikgu saya tak nak la pakai tudung labuh-labuh sangat, saya ni bukan alim pun..nanti orang panggil saya ustazah, saya dah la takde ilmu agama. Kalau diorang tanya hukum macam-macam, matila saya nak jawab’

 

‘Cikgu, wajib ke pakai stoking? Kaki aurat ke? Ala..kaki saya mana ade orang nak tengok pun…’

 

‘Cikgu, saya kat luar jer tak pakai tudung, dalam sekolah saya pakai kot…hehe..’


Begitulah dialog remaja-remaja perempuan hari ini. Isu aurat yang dianggap remeh. Kita sebagai orang yang lebih tua perlu memainkan peranan dengan bergaul dan menasihati mereka secara berhikmah. Alangkah sedihnya  Nabi Muhammad s.a.w melihat perilaku wanita masa kini. Sedangkan nabi sendiri mengangkat darjat seorang perempuan pada kedudukan yang sangat mulia. Segelintir individu mengatakan iman ada di dalam hati. Maka, ramai jugalah yang tidak suka orang lain mempertikaikan penampilan, akhlak dan cara hidup mereka. Kata mereka, ‘don’t judge the book by its cover’. Innalillahiwainnailaihirajiuun.

 
Sebagai seorang yang beriman kita tidak sepatutnya menjerumuskan diri kita ke lembah maksiat. Membuang dan membazirkan masa dengan melakukan dosa adalah ibarat membuat perancangan masa depan untuk masuk ke dalam neraka. Dosa yang kecil jika dilazimikan akan menjadi dosa besar yang akhirnya membawa kerugian di akhirat kelak. Ingatlah! Apa yang kita lakukan hari ini, kesannnya akan dinikmati berpuluh-puluh tahun kelak. Bersusah-susahlah sedikit agar agar kita bahagia di kemudian hari.


Di sini saya ingin memetik kata-kata Pn Ruhana Zaki melaui penulisan beliau dalam bukunya yang berjudul ‘Kerana Mu Aku Berubah’

‘Anda adalah hamba-Nya yang terpilih. Jadi, usah sia-siakan keistimewaan tersebut. Aapabila semua asas Islam telah berjaya disemat dan diamalkan, In sya Allah anda akan membesar sebagai wanita yang baik yang menjadi pilihan penduduk langit dan bumi. Berbahagialah menjadi isteri yang solehah, berkat kesabaran membentuk peribadi mahmudah’

 
Renungkanlah…jangan sampai kita muflis di persimpangan jalan. Moga Allah merahmatimu wahai wanita. Teruskan perjuangan menjadi wanita solehah.



 

Sabtu, 17 Disember 2016

Doakan Saudara-saudara Kita di Syiria


Teks : Intan Anisshuhaila Muhammad Fuad

Asalammualaikum w.b t..

Segala puji-pujian milik Pencipta alam semesta Allah s.w.t kerana diberi peluang dan ruang untuk kita hari ini terus menikmati segala keindahan dan kedamaian di muka bumi Malaysia ini. Saudara dan saudari sekalian, kita adalah sebaik-baik umat yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi-Nya justeru umat ini adalah umat yang terbaik sebagaimana yang tertera dalam surah Ali Imran ayat 110 firman Allah yang bermaksud:

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”

Menurut Imam Qatadah, khalifah Umar bin Khattab pernah berkata berhubung dengan ayat ini, “Sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah yang terdapat dalam ayat ini. Sahabat-sahabat nabi berjaya menunaikan syarat ini justeru mereka berjaya mencipta sejarah gemilang yang tidak ada tolok bandingannya.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 143 pula, Allah menggelar umat ini sebagai ummatan wasatha melalui penjelasannya yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu umat wasatha supaya kamu menjadi saksi atas perbuatanmu”. (wasatha bermaksud umat terbaik lagi adil).

Petikan hasil tulisan Dr Danial Zainal Abidin yang berbunyi : Era akhir zaman tidak ketandusan golongan yang berani memperjuangkan kebenaran sebagaimana nabi menegaskan “Akan ada segolongan daripada umatku yang berpegang teguh di atas agama dan mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehinggalah akhirnya datang urusan Allah. Hal ini dikukuhkan lagi dengan sabda nabi s.a.w : “Kiamat tidak akan berlaku sehingga umat Islam berperang dengan bangsa Yahudi dan orang Islam membunuh mereka sehingga golongan Yahudi terpaksa bersembunyi di belakang batu dan pohon. Ketika itu batu dan pohon akan berkata , “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ada Yahudi yang bersembunyi di sebalikku, datanglah untuk membunuhnya”. Ini akan berlaku kecuali pada pohon ghaqad kerana ia adalah pohon orang Yahudi.

Berdasrkan nas-nas tersebut, kita mengetahui kemelut dan pancaroba yang menimpa umat Islam hari ini tidak kekal. Berdasarkannya juga kita berani mengatakan, “Besok adalah untuk Islam. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berjuang membantu suadara Islam kita di bumi Syiria (Aleppo). Sumbangkan mengikut kemampuan masing-masing. Berdoa, berdoa dan terus berdoa.

#prayforAleppo
#prayforSyiria
#prayforRohingnya
 
 
 

Jumaat, 16 Disember 2016

Jom bantu Syiria (Aleppo)


Teks : Intan Anisshuhaila bt Muhammad Fuad

Asalammualaikum w.b. t…

Puji dan syukur saya panjatkan kepada pemilik alam semesta kerana rahmat dan kasih sayangnya kita diberi kesempatan untuk terus menikmati segala nikmat milik-Nya. Alhamdulillah…

Saudara dan saudari yang disayangi Allah sekalian, tahukah saudara sekalian? Tatkala kita memiliki limpahan nikmat, berada dalam suasana selamat, tinggal dalam sebuah keluarga yang bahagia, aman dan sentosa, berapa ramai masyarakat Islam di luar sana terpaksa berhadapan dengan kemelut dunia yang penuh kezaliman, penindasan dan hanya menuntut kepuasan nafsu serakah individu-individu yang berkepentingan. Ya, dunia menyaksikan masyarakat Islam kita ditindas dengan sewenang-wenangnya tanpa perasaan belas kasihan. Bermula dengan isu masyarakat palestin dan Rohingnya ditindas dengan penuh kekejaman. Kini Aleepo di Syiria berada dalam penindasan. Hal ini dapat saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

“ Ingatla ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata : “ Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’’ Tuhan berfirman : Sesungguhnya Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Di manakah kita saat ini? Saat saudara-saudara Islam kita ditindas dan diperlakukan sewenang-wenangnya persis binatang buas tanpa belas kasihan? Di manakah mata kita memandang saat ini? Di manakah telinga kita mendengar ketika ini? Di manakah tangan dan kaki kita gunakan saat ini? Di manakah seluruh anggota tubuh badan kita ketika ini? Tepuk dada tanya Iman masing-masing. Di sini saya ingin kongsikan  hasil tulisan Mufti Menk yang berbunyi:

“ If you’re struggling with anger and frustration over, you’re not alone. What we are facing now shows that the Almighty has a bigger plan. He’s in full control. Tell Him you’re losing hope but keep praying. Each one of us can play our part. Turn your anger & frustration into something positive”.

Wahai saudara dan saudari sekalian, marilah kita sama-sama memohon dan berdoa kepada Allah agar saudara seislam kita terselamat daripada malapekata tentera-tentera durjana laknatullah. Teruskan perjuangan kita semampu daya LILAHITAA’LA. Jalankan tanggungjawab kita sebaiknya semampunya kita kerana Allah. Bagi yang mampu boleh terus menderma ke tabung-tabung syiria dan kepada yang tidak mampu teruskan berdoa, berdoa dan berdoa.

Wallahua’lam…semoga segala yang disampaikan memberi manfaat kepada kita IN SYA ALLAH.
 
 
                                    
Kanak-kanak Syiria yang tertindas
                                                                                
Negara Syiria yang dizalimi

Khamis, 17 Mac 2016

Wasiat Imam Syafie & Prinsip Kejayaan

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum w.b.t.

Allahhumasolia'lasaidinamuhammad. Kesempatan yang Allah anugerahkan hari ini adalah nikmat tidak ternilai buat hamba-hambanya. Terlebih dahulu ingin saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah azzawajala kerana diberi peluang dan ruang kepada saya untuk terus berkarya hari ini demi kebaikan ummah seluruhnya. Sudah terlalu lama saya tidak menulis blog. Hal ini kerana kengkangan masa dan waktu yang mana saya lebih banyak fokus terhadap kerjaya dan tangunggjawab sebagai pendidik dek kerana tanggungjawab seorang pendidik pada alaf ini begitu mancabar dan memerlukan komitmen yang utuh bagi melahirkan anak bangsa yang berkualiti di dunia dan akhirat. Segalanya memerlukan ilmu.

Mengharungi liku-liku hidup akhir zaman hari ini membuatkan saya sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam diri seseorang bagi menjana segala kelebihan yang Allah anugerahkan. Jestru, bahan yang menarik minat saya bagi mengisi ruang hati yang kekurangan ilmu adalah satu daripada wasiat menarik Imam Syafie. Antara wasiat Imam Syafie :

1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuatmu cemerlang dunia dan  
    akhirat. Ilmu merupakan perkara pokok dalam setiap urusan yang dilalui oleh seseorang dalam
    kehidupan. Hal ini jelas melaui firman Allah dalam surah Al-A'laq yang bermaksud :
 
    ”Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. (QS. 96: 1)
 
   Ayat ini jelas memerintahkan  baginda  Nabi Muhammad Saw. juga kepada umatnya   
  untuk membaca. Membaca dengan nama Allah yang telah menjadikan kita sebagai hambanya
  yakni dengan menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya.
  Justeru, ayat ini secara jelas memerintahkan umat Islam supaya menuntut ilmu. Amalan membaca
  merupakan pintu kepada ilmu. Hal ini kerana membaca bukan sahaja menjadikan planet   
  berpikir seseorang semakin luas malah kebodohan dan  kejahilan dapat diatasi, bahkan
  dihapuskan kerana membaca merupakan gerbang ilmu dan  pengetahuan.

Di sini ingin saya senaraikan 3 prinsip kejayaan dari Surah Al-Mukminun
 
1. Ayat 1 surah Al-Mukminun ('Sesungguhnya berutunglah orang-orang yang beriman')

Seseorang yang berjaya pasti percaya. Beriman di sisni merujuk kepada percaya kepada Allah. Jika kita tidak percaya untuk berjaya, kita mungkin tidak bersedia untuk berjaya. Abu Lahab sudah dianugerahkan oleh Allah untuk berjaya di dunia dan akhirat tetapi, kerana tidak mahu percaya keyakinan yang dibawa oleh nabi s.a.w, maka kejayaan yang datang lari dari kelibat Abu Lahab. Abu Lahab adalah satu contoh individu yang tidak percaya pada kejayaan yang dibawa nabi sehingga Allah berfirman 'celakalah kedua belah kaki Abu Lahab' (rujuk Surah An-Lahab). Kenali dan perjaya pada faktor sekeliling untuk berjaya walaupun orang lain merasakan tiada apa yang boleh dimanfaatkan untuk berjaya. Seseorang yang berjaya yakin dan percaya mereka berjaya.

2. Ayat 2 Surah Al-Mukminun ('Orang-orang yang khusyuk dalam solat')

Fokus untuk berjaya. Jika kita tidak berdisiplin dan tidak fokus dalam kehidupan kita mungkin tidak bersedia untuk berjaya. Begitulah kita dilatih untuk fokus mengingati Allah dalam solat. Ketika berborak, Nabi akan berubah mukanya dan lantas meninggalkan kumpulan manusia yag berbicara apabila tiba waktu solat. Khusyuk dalam solat adalah fokus kepada Allah. Dalam kehidupan akan ada banyak hal yang perlu dilaksanakan tetapi belajarlah untuk fkcus pada apa yang ingin dicapai demi kejayaan dunia dan akhirat walaupun ia akan menimbulkan 'kecil hati' pada orang sekeliling. Orang lain tidak akan bertanggungjawab jika anda tidak berjaya apatah lagi setelah sampai ke akhirat.

3. Ayat 3 Surah Al-Mukminun ( ' Orang-orang yang menjauhkan diri dari perkara sia-sia')

Bila dah nak berjaya katakana ya dan akui. Bila tak berjaya dan ada unsur kegagalan katakan tidak dan usahakan agar kejayaan datang kembali. Barulah anda mampu menerima kejayaan yang dalam perjalanan anda. Kalau anda berdolak dalik dan tak pasti, anda perlukan ilmu untuk pasti kejayaan milik anda. Bila anda jelas pada apa yang anda fokus ia akan menjadi kekuatan untuk berjaya. Jadi, perkara-perkara yang sia-sia tak perlu diberi perhatian atau fokus.  

Semoga kejayaan milik kita!! In Sya Allah..





 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Isnin, 5 Januari 2015

Mengukur KPI Iman

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga berada dalam suasana tenang dan gembira. Sebelum saya memulakan penulisan saya hari ini, ingin saya mengucapkan rasa sykur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Kuasa Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasihnya, saya masih diberi peluang dan ruang untuk terus bernafas menghayati selok-belok alam ciptaan-Nya. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga dan para sahabatya. (Allahhummasolia'lasaidinamuhammad).
Hari ini agak awal saya memulakan rutin menulis blog, berbeza dengan hari-hari sebelum ini, biasanya saya akan memulakan rutin ini seusai solat subuh namun, hari ini sebelum solat subuh saya agak bersemangat untuk mencoretkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada diri saya sendiri mahupun pembaca blog sekalian.
Sejak dua menjak sebelum ini, saya terasa begitu lemah dan malas untuk melaksanakan aktiviti atau rutin harian yang biasa saya lakukan bagi meningkatkan stamina rohani, emosi dan jasmani. Kadang-kadang saya bermonologl sendirian "mengapakah berlakunya situasi sedemikan? Adakah kerana sikap kita, pemakanan kita atau faktor sekeliling yang mempengaruhi?" Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di minda saya. Situasi ini menyebabkan saya terus bertindak mencari-cari bahan yang dapat meningkatkan motivasi diri saya. Akhirnya saya terjumpa satu artikel yang ditulis oleh seorang ustaz melalui majalah solusi berkaitan KPI Iman seseorang.
Sebagai seorang individu yang bekerjaya, menyentuh tentang KPI kita sering dikaitkan dengan kompetensi, integriti, piawaian, kualiti antarabangsa dan seumpamanya. Secara ringkas, ia berkaitan dengan kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semua perkara tersebut adalah demi mencapai sasaran, tidak kiralah sama ada sasaran organisasi mahupun individu. Justeru sasaran yang hendak dicapai mestilah seiring dengan komitmen yang diberikan. Misalnya seorang guru, berapa banyak latihan yang perlu diberikan kepada seorang murid bagi mencapai kualiti pengajaran dan pembelajaran. Jika seorang penulis pula, berapa banyak penulisan yang perlu dihasilkan setahun bagi mencapai KPI yang didinginkan. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya mencapai sasaran. Dengan perkataan lain komitmen yang digariskan inilah yang dinamakan KPI atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai Key Perfomance Index manakala dalam bahasa Melayu disebut Indeks Kunci Prestasi.
KPI penting kerana dengannya dapat diukur dengan jelas sejauh manakah komitmen yang telah diberikan. Cukup makan atau sebaliknya. Jika KPI yang digariskan berjaya dicapai, maknanya individu atau organisasi itu mampu mencapai apa yang telah digariskan. Maka tercapailah objektif dan sasaran organisasi. Seterusnya mudahlah jika mahu diberi imbuhan dan ganjaran kepada kakitangan, sekali gus mampu mengelakkan budaya 'menumpang' dalam kalangan warga organisasi.
Definisi KPI mungkin telah kita fahami. Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam. Mungkin kita sendiri yang kala ini menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif terkemuka lansung tidak terlintas betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita berasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadat semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.
KPI mukmin menyangkut paut terhadap kelansungan hidup manusia sama ada secara individual mahupun sesama manusia lain. KPI berkenaan digariskan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran. Antara deklarasi Allah s.w.t. :
Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, iaitu:
1. Orang yang beroleh khusyuk dalam solat
2. Orang yang tidak lalai dalam kehidupan
3. Orang yang menunaikan zakat
4. Orang yang menjaga kemaluan (kehormatannya)
5. Orang yang menjaga amanah
6. Orang yang memelihara janji
7. Orang yang sentiasa memelihara solat
( Surah al-Mukminun : 1-9)
Kesemua KPI tersebut akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah s.w.t. Ketika itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cuku-cukup makan. Atas kepentingan tersebut, Allah s.w.t menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar harta benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan dalam sebuah hadis:
"Seandainya manusia memiliki harta sepenuh dua lembah tentulah dia meminta agar diberi harta selembah lagi. Rongga batang tubuh anak Adam itu hanya dapat dipenuhi (dipuaskan) dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati.)'' (Hadis Riwayat Bukhari).
Manusia bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Walaubagaimanapun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian. Justeru, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah s.w.t. Andai kita berusaha pasti akan mencapai KPI yang diinginkan Allah kerana genggam bara api biar sampai jadi arang.

Setakat itu sahaja perkongsian saya hari ini. Semoga maklumat yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t manakala yang jelek itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Wallahua'lam.