Sabtu, 27 Disember 2014

Mengatasi Masa Terbuang

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum w.b.t..

Allahhuakbar, subhannallah. Terlebih dahulu, ingin saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan kasihnya saya masih diberi kesempatan dan keberkatan waktu dan ruang untuk terus bertinta dalam blog ini. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w keluarga dan para sahabatnya. Semoga pembaca blog sekalian berada dalam rahmat dan kasihnya. Hari demi hari kita digemparkan dengan bencana alam sekitar. Kini, telah beberapa minggu turunnya hujan tanpa henti sekaligus mengakibatkan banjir. Bagi sesetengah orang, ia dianggap sebagai satu malapetaka, mungkin kerana ia menyukarkan urusan harian seseorang. Manakala, bagi yang lain pula, ia dianggap sebagai kasih sayang daripada pencipta kepada hambanya. Setiap situasi mahupun senario yang dihadapi  bergantung  bagaimana cara kita melihatnya. Kadangkala terasa sayu di hati mengenangkan nasib saudara mara kita yang diuji dengan bencana alam tersebut. Moga Allah selamatkan mereka dan menggantikan sesuatu yang lebih baik dari itu. Untuk pengetahuan pembaca blog semua, hari ini saya ingin menulis tentang masa memandangkan tidak lama lagi cuti sekolah akan tamat dan para pekerja khususnya guru akan kembali semula menjalankan tugas masing-masing. Sebentar tadi saya terdengar ceramah seorang ustaz yang menyatakan beberapa tips untuk mengatasi masa terbuang. Masa begitu berharga dalam kehidupan kita sebagai seorang insan yang diberi tanggungjawab untuk memikul amanah Allah di muka bumi. Hal ini dibuktikan dengan Firman Allah dalam Al-quran surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud :
"Demi masa. Sesungghuhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." . Firman Allah tersebut jelas menggambarkan kepada kita tentang pentingnya penggunaan masa secara bermanfaat. Antara tips merancang masa ialah:
 
1. Masa perlu dirancang. Setiap orang perlu mempunyai perancangan masa dan perancangan tersebut mestilah berkaitan dengan perancangan harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan. Setiap orang pelu memikirkan tentang bekalan yang akan dibawa untuk kehidupan dunia dan akhirat sama ada untuk esok mahupun yang akan datang. Contohnya, seorang guru yang mengajar anak muridnya di dalam kelas, akan lebih bersedia mengajar secara berkesan sekiranya guru tersebut merancang lebih awal sebelum bermulanya pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, setiap perancangan yang dilakukan hendaklah diserahakan keputusannya kepada Allah yang lebih maha merancang.

2. Perlu ada fokus. Setiap individu perlu fokus tentang perancangan yang telah dibuat. Perancangan berfokus merujuk kepada perancangan yang melibatkan hubungan sesama manusia mahupun hubungan dengan Allah. Apabila kita berbicara berkaitan fokus, setiap perancangan perlu berfokus. Misalnya, sekiranya jadual yang dirancang pada waktu pagi adalah membaca, maka amalan membaca perlu difokuskan pada waktu pagi tanpa dicampuradukkan dengan tugasan-tugasan lain.

3. Perlu ada masa rehat. Setiap orang dibekalkan dengan masa rehat yang bersesuaian. Justeru, pentingnya keberkatan waktu bagi setiap individu. Kita sering mendengar keluhan orang di sekeliling, "Ah, aku tak cukup masa la..nak urus anak, nak siapkan tugasan pejabat, nak masak lagi..Aduh, pening kepala!". Dek kerana rungutan itulah pentingnya perancangan yang dilaksanakan dan desertai masa rehat yang berkualiti. Dalam hal ini, berzikir mahupun solat juga dianggap waktu rehat yang berkualiti. Maka, setelah penat menjalankan urusan harian, berhentilah untuk solat yang bukan sahaja sebagai waktu rehat yang berkualiti malah mendapat ganjaran kasih sayang dari-Nya.

4. Perlu elakkan tekanan atau rasa serabut. Dalam hal ini, tugasan-tugasan yang tidak difahami seharusnya dirujuk terus kepada pakar. Misalnya, melaksankan kertas kerja, jika tidak difahami atau kurang pasti, teruslah berjumpa dengan yang pakar. Jangan memberi tekanan kepada otak untuk terus berada dalam situasi tertekan kerana memikirkan kesukaran yang tidak dapat diatasi.

Semoga apa yang disampaikan dapat memberi manfaat untuk saya dan kita semua. INSYAALLAH..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan