Isnin, 5 Januari 2015

Mengukur KPI Iman

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Apa khabar pembaca blog sekalian? Semoga berada dalam suasana tenang dan gembira. Sebelum saya memulakan penulisan saya hari ini, ingin saya mengucapkan rasa sykur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Kuasa Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasihnya, saya masih diberi peluang dan ruang untuk terus bernafas menghayati selok-belok alam ciptaan-Nya. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga dan para sahabatya. (Allahhummasolia'lasaidinamuhammad).
Hari ini agak awal saya memulakan rutin menulis blog, berbeza dengan hari-hari sebelum ini, biasanya saya akan memulakan rutin ini seusai solat subuh namun, hari ini sebelum solat subuh saya agak bersemangat untuk mencoretkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada diri saya sendiri mahupun pembaca blog sekalian.
Sejak dua menjak sebelum ini, saya terasa begitu lemah dan malas untuk melaksanakan aktiviti atau rutin harian yang biasa saya lakukan bagi meningkatkan stamina rohani, emosi dan jasmani. Kadang-kadang saya bermonologl sendirian "mengapakah berlakunya situasi sedemikan? Adakah kerana sikap kita, pemakanan kita atau faktor sekeliling yang mempengaruhi?" Pelbagai persoalan yang berlegar-legar di minda saya. Situasi ini menyebabkan saya terus bertindak mencari-cari bahan yang dapat meningkatkan motivasi diri saya. Akhirnya saya terjumpa satu artikel yang ditulis oleh seorang ustaz melalui majalah solusi berkaitan KPI Iman seseorang.
Sebagai seorang individu yang bekerjaya, menyentuh tentang KPI kita sering dikaitkan dengan kompetensi, integriti, piawaian, kualiti antarabangsa dan seumpamanya. Secara ringkas, ia berkaitan dengan kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semua perkara tersebut adalah demi mencapai sasaran, tidak kiralah sama ada sasaran organisasi mahupun individu. Justeru sasaran yang hendak dicapai mestilah seiring dengan komitmen yang diberikan. Misalnya seorang guru, berapa banyak latihan yang perlu diberikan kepada seorang murid bagi mencapai kualiti pengajaran dan pembelajaran. Jika seorang penulis pula, berapa banyak penulisan yang perlu dihasilkan setahun bagi mencapai KPI yang didinginkan. Begitulah seterusnya sehingga akhirnya mencapai sasaran. Dengan perkataan lain komitmen yang digariskan inilah yang dinamakan KPI atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai Key Perfomance Index manakala dalam bahasa Melayu disebut Indeks Kunci Prestasi.
KPI penting kerana dengannya dapat diukur dengan jelas sejauh manakah komitmen yang telah diberikan. Cukup makan atau sebaliknya. Jika KPI yang digariskan berjaya dicapai, maknanya individu atau organisasi itu mampu mencapai apa yang telah digariskan. Maka tercapailah objektif dan sasaran organisasi. Seterusnya mudahlah jika mahu diberi imbuhan dan ganjaran kepada kakitangan, sekali gus mampu mengelakkan budaya 'menumpang' dalam kalangan warga organisasi.
Definisi KPI mungkin telah kita fahami. Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam. Mungkin kita sendiri yang kala ini menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif terkemuka lansung tidak terlintas betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita berasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadat semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.
KPI mukmin menyangkut paut terhadap kelansungan hidup manusia sama ada secara individual mahupun sesama manusia lain. KPI berkenaan digariskan oleh Allah secara jelas dalam al-Quran. Antara deklarasi Allah s.w.t. :
Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, iaitu:
1. Orang yang beroleh khusyuk dalam solat
2. Orang yang tidak lalai dalam kehidupan
3. Orang yang menunaikan zakat
4. Orang yang menjaga kemaluan (kehormatannya)
5. Orang yang menjaga amanah
6. Orang yang memelihara janji
7. Orang yang sentiasa memelihara solat
( Surah al-Mukminun : 1-9)
Kesemua KPI tersebut akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah s.w.t. Ketika itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cuku-cukup makan. Atas kepentingan tersebut, Allah s.w.t menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar harta benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan dalam sebuah hadis:
"Seandainya manusia memiliki harta sepenuh dua lembah tentulah dia meminta agar diberi harta selembah lagi. Rongga batang tubuh anak Adam itu hanya dapat dipenuhi (dipuaskan) dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati.)'' (Hadis Riwayat Bukhari).
Manusia bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Walaubagaimanapun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian. Justeru, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah s.w.t. Andai kita berusaha pasti akan mencapai KPI yang diinginkan Allah kerana genggam bara api biar sampai jadi arang.

Setakat itu sahaja perkongsian saya hari ini. Semoga maklumat yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada saya dan pembaca blog sekalian. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah s.w.t manakala yang jelek itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Wallahua'lam.

1 ulasan:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    BalasPadam