Khamis, 1 Januari 2015

7 Prinsip Oprah Winfrey

Teks : Intan Anisshuhaila Binti Muhammad Fuad

Bismillahirahmanirrahim.

Asallammualaikum w.t.b. Terlebih dahulu, sebelum memulakan ayunan jari jemari untuk menulis, ingin saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan Semesta Alam tidak lain tidak bukan Allah s.w.t. kerana Dia masih memberi ruang waktu dan keberkatan untuk saya terus berkarya demi kemaslahatan diri sendiri dan ummah. Tidak lupa selawat dan salam rindu ke atas junjungan besar kekasih-Nya, baginda s.a.w, keluarga dan para sahabatnya. Pembaca blog yang dirahmati Allah, apa khabar saudara saudari semua? Semoga kehidupan yang dilalui hari ini lebih baik dari semalam. Tidak lupa juga kepada yang ditimpa musibah, sesungguhnya, Allah mengangkat darjat kalian pada tahap yang lebih tinggi. Insya Allah. Hari ini agak lewat saya memulakan penulisan blog ini. Saya agak tertarik dengan maklumat yang saya baca melalui majalah AO yakni majalah yang dihasilkan oleh Dr Azizan Osman berkaitan tokoh terkenal iaitu Oprah Winfrey.

     Sebelum menjadi seorang yang terkenal dan berjaya Oprah Winfrey telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Antaranya, kemiskinan, penderaan seksual serta diskriminasi kaum. Namun pengalaman hidup yang getir itu tidak menghalang beliau untuk terus berjaya sekaligus menjadi antara wanita yang disegani di peringkat antarabangsa. Kini, beliau bukan sahaja seorang pengacara, malah beliau juga sebagai penerbit rancangan tv, penerbit buku dan majalah, pelakon malah merupakan seorang dermawan. Bermula dari kesusahan sehinggalah mencapai kejayaan, Oprah berjaya menempah namanya di persada media dunia. Di sebalik kejayaan beliau, 7 prinsip utama yang ditekankan untuk cemerlang dalam kehidupan.

1. Bekerja keras dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri
Beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang wanita miskin dan serba kekurangan. Setiap orang perlu mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Menurut Oprah, tiada rahsia besar dalam kehidupan beliau dan tidak kira apa sahaja matlamat yang ingin dicapai, ianya pasti berjaya dicapai jika seseorang itu sanggup bekerja keras untuk mendapatkannya.

2. Bersyukur (Gratitude)
Perkara yang paling besar yang boleh dilakukan bagi mengubah hidup kita pada hari ini ialah dengan bersyukur di atas apa yang kita miliki kini. Lagi banyak kita bersyukur, lebih banyak nikmat kebaikan yang akan diterima kelak.

3. Raikan masa kini dan nikmati pengembaraan hidup
Tidak ada bezanya berapa banyak puncak yang sudah ditawan jika tidak ada keseronokan dalam pendakiannya. Setiap hari kita berpeluang untuk hidup bebas dari kekesalan, jadikan hidup ini penuh dengan kegembiraan dan keseronokan sebanyak mana yang boleh dalam seharian ini.

4. Meneroka dan hidup dengan tujuan
Setiap manusia dihidupkan dengan mempunyai tujuan tertentu. Terokai apa yang anda sayangkan dan kongsikannya kepada orang ramai melalui kaedah servis.

5. Pembelajaran berterusan
Menurut Oprah, walaupun beliau boleh dikatakan telah berjaya namun, beliau masih dalam proses pembelajaran. Beliau mempelajari ilmu berguna melalui rintangan konflik serta pengalaman hidup yang telah dilalui.

6. Melihat kegagalan sebagai pengalaman pembelajaran
Lakukan sesuatu perkara yang kita tidak mampu buat. Jika gagal, cuba lagi kali kedua. Belajar dari kesilapan dan perbaiki pada cubaan seterusnya. Kegagalan merupakan satu batu loncatan kepada kejayaan.

7. Beri semua dan tambah nilai
Menurut Oprah, seseorang tidak akan berhenti memberi. Memberi bukan hanya menulis sehelai cek tetapi bagaimana kita dapat memberi dan menambah nilai kepada kehidupan orang lain.  

Begitulah 7 prinsip kejayaan pegangan hidup Oprah Winfrey. Seorang wanita biasa bertukar menjadi wanita yang amat LUAR BIASA. Semoga penulisan blog saya ini dapat memberi ransangan bukan sahaja pembaca sekalian malah kepada diri saya sendiri. Sesungguhnya, yang baik itu daripada Allah s.w.t dan yang jelek itu daripada kekurangan diri saya sendiri. Sekian sahaja dari saya. Salam sayang dan rindu untuk semua pembaca dan selamat beramal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan