Teks : Intan Anisshuhaila Bt Muhammad Fuad
Segala puji-pujian saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana rahmat dan kasih-Nya, kita masih diberi peluang dan ruang untuk terus menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Tiga hari berlalu setelah keputusan PT3 diumumkan. Alhamdulillah sebagai guru kelas tingkatan 3, saya sendiri berasa sangat bersyukur kerana hampir semua lulus subjek yang telah diajar. Walaubagaimanapun, terdapat juga murid yang tidak lulus seramai tiga orang di kelas tersebut. Walaupun gred purata PT3 lebih rendah berbanding tahun lepas, saya berasa amat bersyukur kerana dengan izin-Nya ramai anak-anak didik kelas saya yang memperolehi A dalam subjek yang telah saya ajar. Sebenarnya kejayaan mereka bukanlah semata-mata kerana saya yang mengajar mereka, tetapi insiatif diri mereka untuk terus berubah dan di sebalik perubahan itu Allah izinkan mereka untuk berjaya. Segala puji-pujian saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana seramai 15 orang murid memperolehi A dalam matapelajaran yang telah diajar.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, keputusan PT3 dalam matapelajarn yang diajar tahun ini agak baik . Hal ini saya kaitkan dengan peribahasa 'kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya'. Sebenarnya, murid-murid tingkatan 3 tahun ini adalah murid-murid yang telah saya ajar sejak dari tingkatan satu lagi. Jadi, segala baik dan buruk mereka telah saya kenali sejak awal penglibatan mereka di tingkatan satu.
Rata-ratanya, anak-anak didik di sekolah ini adalah berlatar belakangkan keluarga yang miskin, berpecah belah dan memiliki tahap motivasi diri yang rendah. Namun, ada juga dalam kalangan mereka terdiri dari latar belakang keluarga berada. Walaubagaimanapun, murid-murid kelas saya majoritinya adalah dari keluarga berada dan sederhana. Setiap hari saya selalu menekankan tahap disiplin diri yang tinggi serta sedikit ilmu agama agar tertananm dalam jiwa mereka dalam melalui liku-liku kehidupan yang penuh cabaan dan dugaan ini. Saya banyak melakukan pengorbanan masa bersama-sama mereka demi melihat kejayaan mereka dalam PT3.
Sejak mulanya penglibatan mereka di tingkatan satu, memang banyak ragam yang terpaksa saya telan. Ayat-ayat bodek yang melibatkan murid yang kurang motivasi sering terpacul dari mulut mereka. Misalnya 'Cikgu Nampak cantik hari ni, apa kata kita hantar kerja sekolah minggu depan, bolehkan cikgu? Jawapan saya ''No Way! Cikgu tidak tertarik dengan ayat-ayat jiwang kamu!' Kerja sekolah wajib hantar esok''. Adakalanya saya ikutkan sahaja rentak mereka. Namun, jika setiap hari sama sahaja keadaannya, saya mula bertegas. Namun begitu, masih terdapat murid-murid yang memiliki inisiatif diri untk terus maju dan cemerlang.
Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur atas rahmat dan kasih sayang-Nya memudahkan segala urusan saya bersama-sama mereka. Tahniah anak-anak didik tingkatan 3A1 khususnya kerana berjaya dalam peperiksaan PT3 baru-baru ini. Manjadawajadda. Siapa yang berusaha dia yang akan memperolehi hasilnya. Di sini sedikit tips remaja untuk berjaya. Kadangkala sebagai hamba Allah kita perlu cermin diri sendiri. Sedikit perkongsian dari majalah Gen-Q hasil tulisan Halim Huraira. Antara tips remaja dalam mencapai kejayaan :
1.Muhasabah Diri
Kita sebagai hamba Allah sering terlupa bahawa dalam amalan seharian kita ada perkara yang dilakukan tidak menepati syariat. Sehingga pada satu tahap kita makin lalai terhadap perintan tuhan, ibu bapa dan guru-guru. Memandangkan kita sudah berada pada penghujung tahun, moleklah kiranya kita muhasabah dan memperbaiki diri. Biar lambat sekarang jangan terlambat kemudian sehingga kita khuatir Allah mengirimkan malaikat maut untuk mencabut nyawa tetapi pada ketika itu kita masih belum bersedia. Nauzhubillah.
2. Kurangkan Berangan
Angan-angan sering dikaitkan dengan cerita mitos Melayu 'Mat Jenin'. Seorang pemuda yang berangan-angan di atas pokok dan akhirnya jatuh. Banyak iktibar yang boleh diambil dari cerita tersebut. Sekadar berangan tanpa tindakan tindak akan memberi apa-apa hasil. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud : 'Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari kematian. Sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah (Riwayat al-Tarmizi). Jadi, jika ada impian teruskan bertindak!
3. Sibukkan Diri Dengan Kebaikan
Iman Hassan Al-Bana pernah berkata : "Kewajipan itu lebih banyak dari masa yang ada". Terlalu banyak kewajipan yang perlu dipersiapkan untuk mengadap Allah justeru masa tidak boleh disia-siakan begitu sahaja. Jika kita fokuskan tentang kewajipan ia menjurus kepada segala amalan kebaikan yang perlu dilaksanakan. Antaranya senyum kerana Allah, apabila kita berbicara tentang senyum kerana Allah bermaksud senyum bukan atas dasar niat yang tidak baik, tetapi sebagai tanda hormat-menghormati. Ada orang senyum tak bertempat. Jangan sampai senyum kita dianggap seperti 'kerang busuk' . Naya tu. Selain itu, kita juga boleh meyebarkan salam sesama orang Islam. Tidak kiralah siapa mereka dan apakah pekerjaan dan pangkat mereka. Kita juga boleh membantu ibu bapa dan guru serta fokus dalam pembelajaran. Tidak lupa,
break time waktu solat. Bukankah hidup lebih indah jika kita dapat fokuskan amalan sedemikian? Niatkan segala-galanya kerana Allah.
4. Saling Berpesan
Jika kita teliti, waktu kita di sekolah guru-guru selalu mengingatkan kita supaya membaca surah Al-Asr setiap kali selesai perhimpunan atau majlis-majlis ilmu yang lain. Sebenarnya Allah sedang mengingatkan kita agar sentiasa menjaga masa, berpesan dengan kebaikan dan kesabaran. Saya percaya ramai dalam kalangan remaja di luar sana mempunyai facebook. Melalaui facebook, kita dapat berkongsi kata-kata nasihat, motivasi, kisah pengajaran dan pengalaman menarik dan bermanfaat kepada sahabat-sahabat yang lain. Sekurang-kurangnya melalaui perkongsian nasihat tersebut kita dapat memberi manfaat kepada orang lain. In Sya Allah.
5. Sabar Dalam Beramal
Sebagai seorang khalifah di muka bumi, kita mempunyai tanggunjawab yang sangat besar. Berdakwah sangat dituntut dalam Islam. Nabi s.a.w menyebarkan dakwah selama 13 tahun. Lihatlah betapa sabarnya nabi dalam berdakwah. Hikmah kesabaran baginda, lahirlah kita sebagai seorang Muslim. Semoga kita juga dapat mencontohi sikap baginda s.a.w. In Sya Allah.
Sekadar itu dulu, semoga apa yang disampaikan dapaat menjadi anjakan paradigma dalam diri kita masing-masing. Segala yang baik milik Allah, yang tidak baik dari kelemahan diri kita sebagai manusia. Wallahua'lam..
|
Gambar Kenanangan Jamuan Akhir Tahun Berasama-sama Anak-anak didik 3A1 (2016) |