Selasa, 31 Disember 2013

Motivasi seorang guru

Teks : Intan Anis Shuhaila

Bismillahhirrahmanirrahim.

Asalammualaikum buat pembaca blog yang disayangi. Mudah-mudahan hari ini kita lebih bersemangat menjalankan rutin menjadi seorang insan yang diredhoi Ilahi. Subhanallah. Syukur ke hadrat Allah kerana Dia masih memberi nikmat untuk saya menulis satu lagi entri  yang bermanfaat hendaknya. Ingin saya memetik kata-kata baginda Rasullullah s.a.w iaitu " Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati". Malah, kenyataan tersebut turut dikukuhkan lagi oleh tokoh inspirasi tempatan, tidak lain tidak bukan Profesor Dato' Dr Muhaya. Sesungguhnya, perjalanan menuju Ilahi memerlukan kekuatan yang sangat jitu dan sentiasa istiqamah bagi mendepani ujian, cabaran, cubaan dan godaan yang dilalui. Sesungguhnya, Allah tidak menguji kamu melainkan ia sesuai dengan kemampuan kamu. Justeru, sebagai manusia yang akan kembali kepada-Nya, marilah kita sama-sama beramal untuk kesenangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Hari-hari yang dilalui begitu pantas berlalu. Hari ini, saya dan suami begitu sibuk mengemas rumah sewa yang saya diami sebelum ini kerana penghujung tahun akan berakhir dan saya akan ditempatkan di sekolah baharu. Banyak persiapan yang perlu dibereskan sebelum melangkah ke tahun 2014. Segala fail perlu dikemaskini bagi memudahkan guru-guru baharu tahun hadapan melaksanakan tugas mereka. Baru sebentar tadi, saya menonton TV Al-Hijrah. Saya menonton kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz. Melalui tontonan tersebut, saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang disampaikan oleh ustaz tersebut berkaitan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru. Sebenarnya, semua orang adalah guru. Ia bukan sahaja merujuk kepada guru yang berdafatar secara formal. Malah, semua orang adalah guru selagi mereka mampu menyampaikan perkara-perkara yang bermanfaat kepada orang lain. Guru yang paling hebat di muka bumi ialah baginda s.a.w. Baginda mempunyai ciri-ciri pendidik yang hebat untuk diteladani sehingga Islam berjaya menguasai seluruh pelusuk dunia. Antara ciri atau kreteria seorang guru yang profesional ialah :

1. Mempunyai Suara dan penampilan yang menarik.
Seorang guru yang memberi ilmu mestilah mempunyai suara yang bagus. Maksudnya, bukanlah suara yang merdu seperti Siti Nurhaliza. Tetapi, mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan itu tepat pada sasarannya. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai suara yang baik yang sememangnya dikurniakan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya, Rasullullah adalah guru yang terbaik kerana memiliki suara yang terbaik sehingga tersebarnya ilmu Islam di seluruh dunia. Suara baginda bukan sahaja merdu tetapi memiliki kekuatan yang luar biasa. Hal ini dikukuhkan lagi melalui sabda baginda s.a.w sendiri :

"Bahawa Allah tidak mengutuskan seorang Nabi melainkan bermuka tampan dan bersuara merdu. Sedangkan nabimu adalah yang terbagus raut mukanya dan merdu suaranya." (H.R At-Tirmidzi).
Jutseru, seorang guru mestilah mempunyai suara yang jelas dan nyata supaya ilmu yang disampaikan tepat pada sasarannya. Insyaallah.

Selain itu, seorang guru mestilah mempunyai penampilan yang menarik dan kemas. Apabila saya berbicara tentang guru, saya juga ingin menekankan bahawa ibu bapa juga merupakan guru yang paling dekat dengan anak-anak. Justeru, sekolah yang pertama bermula di rumah. Ibu bapa perlu mempunyai penampilan yang kemas dan sopan di hadapan anak-anak. Hal ini kerana anak-anak akan meniru setiap perbuatan yang dipamerkan oleh ibu bapa. Begitu juga halnya pada seorang guru yang mengajar secara formal di sekolah. Rasullulah sendiri mempamerkan penampilan yang kemas dan bersih sehingga sedap mata memandang. Hal ini dibuktikan melalui sabda Rasullullah s.a.w. :

" Pakailah pakaian putih kerana ia lebih suci dan bagus. Juga kafankanlah ia pada orang yang meninggal di antara kalian." (Diriwayatkan oleh Muhammad Bin Basyar, dari Abdul Rahman bin Mahdi, dari Sufyan, dari Habib bin Ali Tsabit dari Maimun bin Abi Syabib yang bersumber dari Samur bin Junduh r.a)

Sabda Nabi tersebut jelas menunjukkan nabi seorang yang kemas dan mempunyai penampilan yang menarik. Justeru, setiap guru mesti mempamerkan ciri-ciri pakaian yang kemas di samping menepati syariat. Tidak kisah apapun yang dipakai, tetapi mestilah melambangkan ciri-ciri seorang Islam yakni menepati syariat. Insyaallah.

Ini sekadar motivasi ringkas untuk diri sendiri yang juga kadangkala terlepas pandang apa yang sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar pendidik. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada sesiapa sahaja bagi melayari kehidupan dunia yang sudah hampir di penghujungnya. Insyaallah. Mudah-mudahan saya dapat berkongsi lagi tips yang berkaitan pada entri yang berikutnya.

Wallahualam. mudah-mudahan Allah permudahkan.


Ahad, 29 Disember 2013

Berniaga itu ibadah

Teks : intan anis shuhaila

Bismillahirahmanirrahim.

Hari ini agak lambat saya memulakan entri yang berikutnya. Biasanya cuti-cuti sekolah begini, awal-pagi saya sudah mula mengarang kerana idea pada ketika itu mencura-curah. Walaubgaimanapun, syukur saya panjatkan kerana masih diberi peluang untuk menulis entri yang berikunya pada blog saya ini.

Beberapa jam sebentar tadi, saya telah diminta oleh suami untuk menemaninya mencari peralatan memasak burger. Sebenarnya, suami mempunyai kemahiran memasak burger dan pernah menjualnya secara kecil-kecilan sebelum ini. Malah, beliau juga mempunyai bakat berniaga burger sejak di bangku sekolah lagi.  Situasi ini amat berbeza dengan saya yang lansung tidak memiliki bakat tersebut. Walaubagaimanapun, itu tidak bermakna saya tidak boleh berniaga kerana hendak berjaya di dunia perlu memiliki ilmu begitu juga berjaya di akhirat. Wajib memiliki ilmu. Justeru, jika hendak berjaya kedua-duanya juga mestilah dengan ilmu. Lagipun, 9 dari 10 rezeki yang diperolehi adalah melalui perniagaan. Saya begitu teruja menemaninya mencari alatan memasak tersebut.

Sebenarnya, suami adalah seorang pekerja makan gaji. Beliau sekadar menjalankan perniagaan tersebut secara sambilan. Beliau telah mula menjalankan perniagaan tersebut selepas tamat sekolah menengah lagi. Namun, setelah berkahwin dan saya mula bekerja di luar daerah, beliau tidak dapat menjalankan perniagaannya kerana adakalanya terpaksa berulang-alik menemani saya yang tinggal di luar daerah. Maka, pada ketika itu, tiadalah pendapatan pasif kami. Namun, setelah mendapat tahu saya berjaya tukar di dalam daerah, semangatnya untuk kembali berniaga semakin berkobar-kobar. Senanglah beliau memulakan perniagaannya kembali. Saya juga tumpang seronok.

Walaupun saya bekerja sebagai guru, itu tidak bermakna saya tidak boleh berniaga. Banyak perniagaan yang bermanfaat yang boleh dilakukan. Bukankah berniaga itu satu sunah. Jadi, sebagai umat Islam kenapa kita tidak mengikut sunnah? Bukankah ekonomi umat Islam perlu dikukuhkan? Namun, bagi yang bekerja makan gaji, persiapkan jadual supaya kita tidak culas dalam kerjaya yang diceburi.

Wallahua'lam....mudahan Allah mudahkan urusan ini.

Jumaat, 27 Disember 2013

Persiapan awal sebelum sesi persekolahan bermula.

Teks : intan anis shuhaila md fuad

Bismillahhirahmanirrahim.

Syukur ke hadrat Allah saya masih diberi peluang untuk menulis entri kedua di blog saya ini. Hari-hari yang berlalu boleh diumpamakan sehari ibarat sesaat. Begitu pantas masa berlalu. Ada beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan akan bermula. Bagi suri rumah, pastilah detik-detik genting ini meyebabkan mereka sibuk menguruskan persiapan persekelohan anak-anak, terutamnaya anak-anak yang baru mula mendaftar ke sekolah. Hal ini juga turut dirasai oleh suri-suri bekerjaya seperti saya. Walaupun saya masih belum dikurniakan zuriat, namun persiapan persediaan sebagai guru sekolah perlu diberi perhatian. Mungkin situasi saya berbeza dengan ibu-ibu yang mempunyai anak sekaligus bekerja di luar. Mereka terpaksa menyeimbangkan persiapan keperluan anak-anak dan persiapan bekerja di luar.

Untuk pengetahuan pembaca blog sekalian. Sudah 5 tahun saya berjauhan dari suami kerana kekangan jarak tempat kerja saya. Saya bekerja di Taiping manakala suami bekerja di Seri Iskandar, Perak. Kami hanya bertemu seminggu sekali. Adakalanya suami atau saya terpaksa berulang-alik dari tempat kerja masing-masing bagi meluahkan rasa rindu yang terbuku. Situasi ini amat memberi tekanan kepada saya dan suami. Mungkin kerana itu, saya masih belum dikurniakan zuriat. Hampir 5 tahun saya minta tukar supaya berdekatan dengan suami namun permohonan pertukaran saya tidak pernah berjaya. Rasa sedih, kecewa sentiasa menyelubungi dalam jiwa saya.

Namun, kedaan itu berubah. Jika sebelum ini saya bekerja di luar daerah. Kini, saya telah dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa saya berjaya bertukar di sekolah yang berdekatan dengan suami. Berita ini dimaklumkan kepada saya 2 hari yang lepas. Syukur yang tidak terhingga saya panjatkan kepada Pencipta kerana mendengar rintihan saya dan suami. Selalu orang menyebut, "tiada rezeki"..  Benarlah, rezeki dari Allah dan setiap orang dikurniakan rezeki yang berbeza-beza. Sihat, zuriat, suami soleh atau isteri solehah, jiran yang baik, rakan sejati dan segala perkara yang memberi manfaat juga merupakan rezeki dari Allah.Alhamdulilah.

Kadangkala rasa sedih juga bila mengenangkan rakan-rakan seperjuangan yang banyak membantu selama bertugas di Taiping. Bukan sehari dua bersama-sama mereka melayari kehidupan sebagai pendidik malah sudah bertahun. Jadi, segala pahit maung, derita, penatnya menjadi seorang guru kami tempuhi bersama. Tambahan pula, anak-anak didik yang agak sopan dan tidak senakal anak-anak didik di sekolah aliran biasa. Buat pengetahuan semua pembaca blog, sebelum ini saya mengajar di Sekolah Menengah Agama. Situasi ini mungkin berbeza dengan sekolah aliran biasa. Saya juga berdoa agar saya bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan yang sejati serta anak-anak didik yang tidak nakal dan sentiasa mendengar kata. Bagi rakan-rakan yang masih belum berjaya tukar ke kampung halaman masing-masing, sabarlah. Ada hikmah yang menanti kalian. Jangan pernah putus meminta, merintih serta berdoa pada-Nya. Insyallah. Bagi rakan-rakan yang banyak membantu pengorbanan kalian hanya Allah mampu membalasnya.Terimakasih banyak-banyak.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa tip ringkas tentang persediaan guru sebelum bermulanya sesi persekolahan:

1.   Sentiasa kukuhkan solat fardhu dan solat sunat seperti solat tahajud. Solat adalah perisai atau benteng dari berlakunya sesuatu yang memudaratkan. Dari segi perubatan dan psikologi, solat Tahajjud mempunyai manfaat berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan solat-solat sunat yang lain. Individu yang sentiasa melakukan solat sunat Tahajjud akan berasa dirinya kuat fizikal, mental dan emosi sekaligus menstabilkan ketiga-tiga elemen tersebut. Hal ini yang perlu ada dalam diri seorang pendidik yang berhadapan dengan cabaran baharu kini. Ia dijelaskan lagi dalam firman Allah dalam Surah al-Muzzamil ayat ayat 6 hingga 7 yang bermaksud :

" Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.(Kami gallakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang pnajangnya kira bicaranya."

2. Muhasabah dan baiki diri :
Alpa dari bermuhasabah diri menyebabkan sesuatu perkara yang dilakukan menjadi silap. Hal ini juga menyebabkan seseorang suka kepada hawa nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Justeru, lazimkan diri dengan sentiasa bermuhasabah. Beramallah terhadap sesuatu yang jelas.

3. Berfikiran positif :
Memetik kata-kata Dato' Dr Azizan "Allah menurut sangkaan hamba-hambanya". Berfikirlah positif supaya hasil yang diperolehi juga positif. Di samping itu, jangan lupa memaafkan orang lain di sekeliling kita.

4. Lengkapkan diri dengan ilmu :
Setiap hari, kehidupan sesorang perlu sentiasa diisi dengan ilmu kerana membaca jabatan ilmu. Justeru, sebagai seorang guru, penguasaan ilmu sangat penting dalam diri. Ia bukan sahaja melibatkan ilmu yang berkaitan bidang yang diajar tetapi meliputi semua ilmu dunia dan akhirat yang memberi menfaat.

Wallahua'lam.. Mudah-mudahan ia memberi manfaat untuk kita semua.

Rabu, 25 Disember 2013

Kembara ilmu sang pencinta...

Dengan lafaz bismillahhirahmanirrahim.

Asalammualaikum buat semua pembaca blog yang dikasihi. Terlebih dahulu ingin saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada pencipta alam semesta Allah s.w.t kerana dengan izinnya, saya diberi peluang untuk menulis entri pertama di blog ini di samping dapat menyedut udara kurniaan-Nya tanpa perlu membayarnya walau sesenpun. Subhanallah. Tidak lupa selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. keluarga dan para sahabatnya.

Buat pengetahuan pembaca blog, kemahiran mengarang bukanlah kemahiran yang saya miliki. Malah, minat mengarang tidak tertanam dalam jiwa sejak kecil. Namun, Alhamdulilah, peluang yang diberi, memandu saya untuk terus menulis dalam entri pertama blog saya ini. Sedikit kemahiran yang saya miliki salah satunya kemahiran berkomunikasi. Tambahan pula saya seorang guru. Jadi, saya lebih banyak bercakap jika dibandingkan dengan mengarang. Walaubagaimanapun, sebagai pendidik kemahiran mengarang dan berkomunikasi perlu seiring. Barulah matlamat yang hendak dicapai tepat pada sasarannya.

Untuk pengetahuan pembaca blog, genap hari ini saya sudah lima tahun memegang jawatan sebagai guru. Kerjaya guru bukanlah sesuatu yang mudah, berbeza keadaannya dengan guru dahulu dan guru kini. Guru kini perlu lebih stabil dari segi emosi, mental dan fizikal, tanpa kesempurnaan terhadap ketiga-tiga elemen ini pasti seorang guru yang dianggap pendidik tewas dalam kerjayanya. Saya juga dilahirkan dalam keluarga yang mana ibu dan ayah juga seorang guru yang begitu komited terhadap tugas masing-masing. Sebagai anak sulung, saya melihat bagaimana kedua ibu bapa saya bertungkus lumus memajukan anak bangsa sendiri. Kadangkala terlintas di hati perasaan sedih terhadap mereka kerana terpaksa menyeimbangkan keperluan keluarga dan kerjaya. Rasa bangga dan syukur melihat ayah dan ibu bekerja sebagai guru. Saya sendiri mempunyai matlamat dan cita-cita untuk menjadi 'murabbi' hebat seperti mereka. Namun, tidak keterlaluan saya katakan kerjaya guru dahulu dan kini sangat berbeza.

Jika dulu, guru mungkin datang ke sekolah dan mengajar. Kini, keadaan itu mungkin jauh bezanya. Guru dibebankan dengan pelbagai tugas. Sudahlah selama ini guru dibebankan dengan tuagas-tugas pengkeranian. Kini, terpaksa pula berdepan dengan sistem online PBS yang memeningkan. Malah ada guru yang hadir ke sekolah tidur akibat berjaga malam menunggu sistem dalam talian ini berfungsi dengan baik. Selain itu, sistem e-prestasi. Sepatutnya ia bermula pada tahun 2015 tetapi telah dicepatkan pada tahun 2014. Guru sering disalahkan konon-kononnya mereka tidak menjalankan tugas, padahal sistem yang bermasalah dan perlu dikaji keberkesanannya. Hal ini boleh diibaratkan seperti sebuah telivisyen LCD yang canggih tetapi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana sistem wayar di dalamnya tidak sistematik. Saya sendiri melalui perit maungnya bekerja sebagai guru. Malah kualiti p & p di dalam kelas semakin merosot akibat terpaksa menyiapkan tuagasan-tugasan yang dikehendaki oleh pihak atasan dengan segera.

Adakalanya, jauh di sudut hati ingin saya berhenti dari tugas yang memenatkan ini ditambah pula dengan segelintir pihak pentadbiran yang tidak profesional. Saya akui mengajar merupakan minat saya sejak kecil lagi. Hal ini kerana p&p yang ditonjolkan oleh ibu saya sewaktu saya di bangku sekolah memberi kefahaman yang berkesan kepada saya. Ia sekaligus menarik minat saya untuk jadi seperti beliau. Beliau juga telah beberapa kali dianugerahkan sebagi guru cemerlang Bahasa Inggeris. Namun, mungkin dulu lain sekarang lain. Kadangkala, saya menyuarakan hasrat hati untuk berehenti dari kerjaya ini kepada suami. Suami meminta saya bersabar kerana katanya kerjaya guru adalah kerjaya mulia. Saya berdoa supaya Allah jelaskan hala tuju saya. Saya bukan tidak berminat mendidik anak bangsa sendiri, tetapi adakalanya saya terpaksa akur dengan kehendak sesetenagh pihak yang mahukan itu dan ini. Tertekan rasanya. Moga suatu masa saya dapat membina pusat pendidikan saya sendiri di rumah sekaligus mendidik anak saya sendiri. Hal ini kerana pendidikan yang sejati bermula dari rumah. Moga Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat ku.

Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya ) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan mereka ayat-ayat-Nya bertambah iman. Kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakal".

Mudahan aku mendapat petunjuk dari-Nya.